
BETONG: Mahkamah Majistret Betong hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara lima bulan terhadap seorang pemilik premis kerana gagal mematuhi arahan larangan mempamerkan produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau di premisnya.
Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal selepas didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dibaca bersama Seksyen 10(2)(a)(i) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, Pasukan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong menjalankan Ops Rokok di Pekan Betong pada Oktober 2025, dan mendapati premis tertuduh mempamerkan pelbagai jenama rokok secara terbuka. Tertuduh kemudian diberi notis kesalahan di bawah Seksyen 47 akta berkenaan.
Pegawai Pendakwa, Kana Lakui, menegaskan bahawa pemilik premis bertanggungjawab memastikan penjualan rokok mematuhi peraturan, termasuk menggunakan rak tertutup atau pelindung tanpa menonjolkan jenama, serta hanya mempamerkan senarai harga tanpa gambar atau logo.
Beliau berhujah bahawa kesalahan dilakukan secara jelas dan terbuka, melibatkan pelbagai jenama yang mudah dilihat oleh orang awam termasuk kanak-kanak dan remaja, sekali gus bercanggah dengan objektif akta yang bertujuan melindungi kesihatan masyarakat.
Kesalahan ini, katanya, memberi kesan negatif kerana boleh menggalakkan tabiat merokok dan menormalisasikan penggunaan produk tersebut. Hukuman yang setimpal perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan pencegahan umum agar peniaga lain tidak memandang ringan undang-undang ini.
Oleh Akun Giman