Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Asia Tenggara di barisan hadapan risiko perubahan iklim: Fakta sains, hasil rundingan COP30 di Belém, Brazil
  • RENCANA

Asia Tenggara di barisan hadapan risiko perubahan iklim: Fakta sains, hasil rundingan COP30 di Belém, Brazil

Utusan Sarawak 7 hours ago

KECELARUAN cuaca ekstrem yang melanda rantau ini baru-baru ini—dengan banjir teruk di Vietnam, selatan Thailand, Sumatera dan Malaysia-mengingatkan kita bahawa Asia Tenggara merupakan antara rantau yang paling terdedah, rentan dan berisiko tinggi terhadap impak cuaca ekstrem. 

Realitinya, negara jiran seperti Filipina dan Vietnam telah lama berada dalam senarai teratas negara yang amat berisiko dan terdedah kepada impak perubahan iklim.

Pasukan penyelamat meredah air banjir sambil memegang tali dalam usaha memindahkan penduduk yang terperangkap di rumah mereka di Padang, wilayah Sumatera Barat, pada 27 November 2025. — Gambar AFP

Namun, perspektif kini semakin berubah dengan berlakunya fenomena kecelaruan cuaca ini. Kita mesti menerima hakikat bahawa negara-negara lain yang secara tradisinya tidak terdedah kepada ancaman ribut tropika turut mula berhadapan risiko yang sama. 

Sumatera, yang lazimnya dikaitkan dengan ancaman bencana gempa bumi dan tsunami, kini perlu menambah satu lagi ancaman dalam senarai bencana alamnya, iaitu ribut siklon tropika, yang baru-baru ini menyebabkan banjir dahsyat dan mengorbankan lebih 1,200 nyawa, termasuk mereka yang masih hilang.

Dalam rencana sebelum ini, saya telah menulis bahawa pelbagai fenomena iklim menyumbang kepada kecelaruan ini. Episod luruan sejuk, La Niña dan Indian Ocean Dipole (IOD) berfasa negatif berlaku secara serentak, ditambah pula dengan pemanasan global yang saban tahun meningkatkan suhu permukaan laut dan kandungan haba lautan. 

Jika dulu fenomena-fenomena ini tidak menyebabkan kecelaruan cuaca ekstrem yang teruk, tetapi dengan peningkatan suhu akibat pemanasan global, risiko meningkat.

Kajian oleh Kumpulan Atribusi Cuaca Dunia (World Weather Attribution) mengesahkan bahawa pengukuhan siklon Ditwah yang melanda Sri Lanka serta ribut siklon tropika Senyar berkait rapat dengan suhu permukaan laut yang tinggi akibat pemanasan global.

Menurut Laporan Panel Antara-Kerajaan mengenai PerubahanIklim (IPCC), peningkatan pembebasan gas rumah hijau sejak awal 1970-an telah menguatkan kesan rumah hijau dan menyebabkan sistem iklim global memasuki fasa ketidakseimbangan radiasi (radiative imbalance). 

Dalam fasa ini, jumlah haba yang diserap oleh sistem iklim daripada pancaran matahari melebihi jumlah haba yang dipancarkan semula ke angkasa lepas. 

Kepekatan pelepasan tahunan gas rumah hijau global kini dianggarkan sekitar 60 GtCO₂-eq apabila sektor guna tanah dan perhutanan (LULUCF) diambilkira, dengan LULUCF sendiri menyumbang kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan pelepasan, menurut IPCC.

Kenderaan melalui jalan yang dinaiki air banjir ketika seorang penunggang basikal meredah air di Manila, susulan hujan lebat yang dibawa oleh Ribut Tropika Nalgae. — Gambar AFP

IPCC turut menganggarkan bahawa 91 peratus daripada lebihan haba ini diserap oleh lautan, menyebabkan suhu permukaan laut dan kandungan haba lautan terus meningkat. 

Lautan semakin panas, manakala paras laut meningkat akibat pengembangan terma. 

Bagi laut – laut di sekitar Asia Tenggara, keadaan ini amat kritikal kerana kedalaman yang secara relatifnya cetek menyebabkan haba kekal di lapisan permukaan dan mudah mempengaruhi atmosfera. 

Keadaan ini berbeza dengan lautan dalam, di mana haba boleh diagihkan ke lapisan bawah lautan.

Menurut Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), pelepasan tahunan gas rumah hijau global pada 2025, tanpa mengambil kira LULUCF, dianggarkan sekitar 53.0 GtCO₂-eq dan diunjurkan menurun sedikit kepada 51.5 GtCO₂-eq menjelang 2030, berdasarkan komitmen negara-negara yang meratifikasi Perjanjian Paris melalui Nationally Determined Contributions (NDC).

Namun begitu, angka ini masih jauh lebih tinggi daripada tahap yang diperlukan untuk mengehadkan pemanasan global kepada di bawah 1.5°C. 

Menurut IPCC, pelepasan gas-gas rumah hijau global perlu dikurangkan sekitar 50 peratus daripada aras 2019 kepada kira-kira 25–30 GtCO₂-eq menjelang 2030, dan seterusnya mencapai sifar bersih (net-zero) CO₂ menjelang 2050.

Dunia kini berada di ambang krisis darurat iklim. Tahun 2024 direkodkan sebagai tahun paling panas dalam sejarah pencerapan moden. 

Pemanasan global melebihi 1.5°C akan meningkatkan lagi kekerapan dan keamatan kecelaruan cuaca eksterm, serta impaknya terhadap sistem manusia dan ekosistem. 

Ekosistem terumbu karang, yang menyediakan khidmat ekosistem penting kepada manusia—merupakan antara yang paling terancam. 

Malah, dunia kini dipercayai telah melepasi titik kritikal iklim (climate tipping point) pertama, dengan kadar kematian litupan terumbu karang global melebihi 80 – 90 peratus.

Sekiranya dunia gagal menurunkan pelepasan gas rumah hijau, gagal beralih kepada ekonomi karbon rendah, dan terus bergantung kepada bahan api fosil, IPCC mengunjurkan bahawa suhu global boleh meningkat sebanyak 4–5°C menjelang akhir abad ke-21, dan sehingga 15°C menjelang tahun 2300 berbanding aras pra-industri sekitar tahun 1850.

Keadaan ini akan membawa dunia ke arah senario bumi yang terlalu panas, atau “Hothouse Earth”. 

Menurut IPCC, bukti paleo iklim menunjukkan bahawa kira-kira 60 juta tahun dahulu, bumi berada dalam keadaan sedemikian apabila kepekatan CO₂ atmosfera mencecah sekitar 2,000 ppm, berbanding kira-kira 420 ppm pada masa kini. 

Bumi secara semula jadi memerlukan berjuta-juta tahun untuk mencapai keseimbangan iklim baharu, tetapi aktiviti manusia berpotensi mengubah sistem iklim kepada keadaan 60 juta tahun lalu hanya dalam tempoh singkat, iaitu sekitar satu hingga tiga abad. 

Dengan kadar pemanasan yang begitu pantas dan tinggi, tamadun manusia serta ekosistem tidak akan mampu beradaptasi dan berisiko musnah.

Semua ini merupakan senario masa hadapan yang bergantung sepenuhnya kepada bagaimana tindakan dunia menangani krisis iklim hari ini. 

Dunia tidak mempunyai pilihan selain mengehadkan pemanasan global di bawah 1.5°C. Pelepasan gas rumah hijau mesti dikurangkan secara drastik—sekitar 50 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih CO₂ menjelang 2050. 

Ini bukan retorik atau agenda politik negara tertentu; ini adalah fakta sains sebagaimana yang dilaporkan oleh IPCC.

Namun persoalan pentingnya ialah sama ada dunia benar-benar komited dan bersedia untuk mencapai sasaran ini, berdasarkan hasil rundingan COP30 di Belém, Brazil (10–21 November 2025). 

Jawapannya ialah belum lagi ketika ini. Komitmen semasa masih jauh tersasar, dan masih belum jelas bagaimana komitmen ini dapat diperkukuh bagi mencapai sasaran mengehadkan pemanasan global di bawah 1.5°C. 

Berdasarkan komitmen NDC sedia ada, suhu global dijangka meningkat melebihi 3°C menjelang akhir abad ini. Adakah kita bersedia menghadapi kecelaruan cuaca ekstrem yang lebih kerap? 

Negara-negara di rantau ini yang beranggapan “kurang terkesan” tidak boleh lagi berada dalam zon selesa. Episod cuaca ekstrem yang melanda selatan Thailand dan Sumatera boleh berlaku di mana-mana negara, pada bila-bila masa, di bawah senario pemanasan global yang tidak terkawal.

Unjuran iklim di Asia Tenggara oleh konsortium CORDEX Southeast Asia (Tangang et al., 2020; Supari et al., 2020), serta unjuran beresolusi tinggi oleh Centre for Climate Research Singapore CCRS V3 (Yu et al., 2025), memberikan amaran yang jelas tentang keadaan iklim serantau yang semakin gawat sekiranya dunia gagal mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Orang ramai menyertai satu demonstrasi di hadapan pintu masuk utama COP30 di Belém, Negeri Pará, Brazil, pada 10 November 2025. — Gambar AFP

Negara-negara di rantau ini perlu komited untuk beralih kepada ekonomi karbon rendah, meningkatkan sasaran dan pelaksanaan NDC masing-masing, serta memperkukuh usaha adaptasi bagi meningkatkan daya tahan iklim.

Namun, pelaksanaan mitigasi dan adaptasi memerlukan pembiayaan yang besar, sedangkan kebanyakan negara membangun di rantau ini mempunyai kapasiti kewangan yang terhad. 

Menurut rundingan COP29, negara-negara membangun di seluruh dunia memerlukan sekitar AS$1.3 trilion setahun menjelang 2035 untuk menangani isu perubahan iklim. 

Sebelum ini, negara maju hanya berjanji menyediakan AS$100 bilion setahun. Di COP30 di Belém, komitmen tersebut meningkat kepada sekitar AS$300 bilion setahun, namun jumlah ini masih jauh daripada keperluan sebenar yang mencecah skala trilion dolar.

Presiden COP30, Andre Correa do Lago (tengah), berucap semasa sesi pleno Persidangan Perubahan Iklim PBB COP30 di Belém, Brazil, pada 21 November 2025. — Gambar AFP

Kesimpulannya, COP30 di Belém gagal dalam dua aspek utama. Pertama, gagal mencapai kesepakatan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau selaras dengan bukti saintifik IPCC; dan
kedua, gagal mencapai kesepakatan pembiayaan yang mencukupi bagi membantu negara-negara membangun menangani perubahan iklim.

Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Antara-Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Continue Reading

Previous: Masa depan bermula sekarang
Next: Southeast Asia at the forefront of climate change risk: Scientific evidence and outcomes from COP30 in Belém, Brazil

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.