Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Rombakan Kabinet: Strategi kestabilan dan penyesuaian
  • KOLUMNIS

Rombakan Kabinet: Strategi kestabilan dan penyesuaian

Utusan Sarawak 7 hours ago

ROMBAKAN Kabinet terbaharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus dibaca bukan sebagai satu perubahan ideologi atau peralihan hala tuju besar kerajaan, tetapi sebagai langkah strategik untuk menstabilkan Kerajaan Perpaduan, memperkemas pentadbiran, dan menutup ruang spekulasi politik dalaman.

Dalam landskap politik Malaysia yang masih rapuh pasca-PRU15, keutamaan utama kerajaan bukanlah kejutan dasar, tetapi kelangsungan fungsi, pengurusan risiko politik, dan pemulihan keyakinan awam.

Secara keseluruhan, rombakan ini lebih condong kepada kestabilan politik berbanding pembaharuan dasar yang bersifat radikal. Reformasi masih wujud, tetapi dilaksanakan secara beransur-ansur  (incremental) dan berperingkat, selari dengan realiti kerajaan berbilang gabungan yang memerlukan kompromi kuasa, pengurusan persepsi, dan keseimbangan dalaman.

Kesinambungan dengan penyesuaian semula

Gabungan muka lama dan muka baharu dalam Kabinet memberi isyarat yang jelas, iaitu ke arah kesinambungan dengan penyesuaian, bukannya perubahan arah.

Muka lama memastikan kesinambungan dasar, memori institusi, dan kestabilan pelaksanaan agenda sedia ada, khususnya agenda MADANI yang masih dalam fasa memperteguhkan usaha.

Dalam konteks pentadbiran awam, kesinambungan ini penting bagi mengelakkan gangguan dasar yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan keberkesanan birokrasi.

Pada masa sama, kemasukan muka baharu dan pemimpin lebih muda memberi isyarat kepada usaha penyegaran imej kerajaan, pembaikan prestasi, dan tarikan terhadap pengundi muda serta pengundi belia.

Namun, ini bukan perubahan struktural yang menyeluruh. Ia lebih tepat digambarkan sebagai pelarasan semasa, iaitu pelarasan untuk meningkatkan keberkesanan tanpa mengubah kerangka dasar secara drastik.

Imbangan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan

Salah satu dimensi paling ketara dalam rombakan ini ialah menyerlah cerminan imbangan kuasa yang amat berhati-hati dalam kerajaan perpaduan.

Setiap pelantikan dan perubahan portfolio dilihat dirangka bagi memastikan tiada komponen utama berasa dipinggirkan.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak) yang baharu Datuk Mustapha Sakmud. Foto Bernama

Hal ini menegaskan bahawa keutamaan Perdana Menteri adalah kelangsungan kerjasama antara beberapa parti untuk memperoleh kelebihan suara dalam parlimen bukanlah dominasi satu blok atau satu aliran pemikiran.

Pelantikan pemimpin Bumiputera DAP Sarawak sebagai Timbalan Menteri Persekutuan, walaupun parti itu kekal sebagai pembangkang di peringkat negeri, menjadi contoh jelas pendekatan ini.

Langkah tersebut tidak harus ditafsir sebagai kemenangan struktural DAP ke atas Gabungan Parti Sarawak (GPS), kerana jawatan Timbalan Menteri adalah pelantikan Persekutuan, bukan cerminan mandat atau kuasa eksekutif negeri.

Sebaliknya, ia mencerminkan usaha untuk mengelak persepsi bahawa terdapat peminggiran kepimpinan PH Sarawak dalam struktur Persekutuan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangka berlangsung hujung tahun depan.

Dalam erti kata lain, ini ialah pengurusan politik jangka sederhana—mengimbangi keperluan kestabilan Persekutuan sambil membina asas politik masa depan.

Sarawak dan isyarat politik Borneo

Pengukuhan pelantikan empat Timbalan Menteri baharu dari Sarawak membawa makna politik yang jauh lebih besar daripada sekadar pertambahan angka.

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

Ia menandakan penaiktarafan kedudukan tawar-menawar Sarawak di Putrajaya dan integrasi yang lebih mendalam ke dalam struktur eksekutif Persekutuan, apabila terdapat juga pertukaran portfolio dilakukan.

Lebih penting, portfolio yang diberikan—kesihatan, hal ehwal luar, perladangan dan komoditi, serta belia dan sukan—merupakan bidang yang dekat dengan kepentingan rakyat dan ekonomi.

Maka ini menunjukkan Sarawak tidak lagi dilihat sekadar penyumbang angka sokongan Parlimen, tetapi sebagai rakan strategik kepada kestabilan nasional.

Dari sudut isyarat politik Perdana Menteri kepada Sabah dan Sarawak melalui Kementerian Sabah dan Sarawak yang diterajui Mustapha Sakmud, mesejnya jelas bahawa blok Borneo tidak boleh diketepikan.

Dalam Parlimen yang seimbang, sokongan Borneo kekal sebagai penentu kelangsungan kerajaan dan kestabilan politik keseluruhan.

Justeru, rombakan ini mengukuhkan naratif bahawa Kerajaan Perpaduan bersifat inklusif dan sensitif terhadap realiti Persekutuan Malaysia yang berbilang wilayah.

Prestasi, anak muda, kepakaran dan realiti politik

Penglibatan ahli politik muda di bawah umur 50-an ialah peremajaan Kabinet dan kombinasi generasi lebih muda dengan yang lebih berusia dan berpengalaman.

Watak ahli politik muda seperti Chang Lih Kang, Akmal Nasir, Fadhlina, Muhammed Taufik Johari, Adam Adli dilihat sebagai impian Anwar Ibrahim untuk membina pelapis muda parti untuk menerajui negara pada masa depan dan usaha untuk menarik pengundi muda yang menjadi kelompok pengundi antara yang terbesar pada pilihan raya umum pada masa akan datang.

Persoalan sama ada pelantikan Kabinet dibuat berdasarkan prestasi dan kepakaran atau keperluan politik perlu dijawab secara realistik. Hakikatnya, ia adalah gabungan kedua-duanya.

Beberapa pelantikan jelas berpaksikan imbangan kepakaran dan rekod prestasi, khususnya dalam kementerian ekonomi dan teknikal. Namun, dalam Kerajaan Perpaduan, keperluan politik tidak boleh diketepikan kerana Kabinet berfungsi sebagai ruang kompromi kuasa.

Namun ini bukan kelemahan unik Malaysia, tetapi realiti sistem demokrasi pakatan  politik di banyak negara.

Yang lebih penting ialah sama ada kompromi politik tersebut masih menghasilkan Kabinet yang berfungsi dan berkeupayaan, bukannya sekadar memenuhi tuntutan untuk mewakili parti.

Sudah tentu dalam konteks ini, MIC pasti kecewa sebab tidak ada jawatan diberikan kepada parti yang hanya mempunyai satu parlimen sahaja. Ada desas-desus menyatakan penangguhan MIC keluar daripada BN dengan harapan dapat jawatan kabinet.

Berlainan dengan jawatan Menteri Wilayah dan timbalan menteri jawatan tersebut kedua-duanya disandang oleh etnik Cina dari DAP dan PBS sekali gus menyaksikan pengguguran Zaliha Mustapha pemimpin kanan PKR tanpa dijangka ramai.

Sudah pasti, ini akan mengundang pelbagai tafsiran mengenai percaturan politik DAP dan PKR dalam mengharmonikan Kerajaan Perpaduan.

Johari Ghani dan MITI: Kredibiliti, bukan retorik

Pelantikan Datuk Seri Johari Ghani ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan antara keputusan yang paling signifikan dari sudut dasar ekonomi.

Johari membawa kredibiliti teknokratik dan korporat yang kukuh, hasil pengalaman luas dalam sektor swasta serta peranannya sebagai bekas Menteri Kewangan Kedua.

Beliau dikenali sebagai pentadbir berasaskan angka, berdisiplin fiskal, dan berorientasikan pelaksanaan. Dalam konteks ekonomi global yang tidak menentu, pasaran dan pelabur lebih menghargai kebolehramalan, kecekapan dan keupayaan melaksana, berbanding retorik besar tanpa hasil.

Di MITI, Johari dijangka memperkukuh penjajaran antara dasar dan industri, mempercepatkan fasilitasi pelaburan dengan mengurangkan kerenah birokrasi, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau, khususnya dalam sektor pembuatan, elektrok dan elektronik serta industri nilai tambah.

Pendekatannya dijangka lebih berfokus kepada pelaksanaan sebenar, bukan sekadar pengumuman dasar.

Dalam iklim ekonomi semasa, MITI memerlukan pemimpin yang memahami risiko, pasaran dan realiti industri—dan dalam konteks ini, Johari Ghani dilihat sebagai pilihan yang tepat.

Dinamika Rafizi dan keseimbangan

Pandangan bahawa rombakan ini menyaksikan lebih ramai tokoh yang dilihat sehaluan dengan Rafizi Ramli berada dalam Kabinet bukanlah sepenuhnya salah, tetapi perlu dibaca secara lebih bernuansa.

Kehadiran mereka boleh ditafsir sebagai usaha memperkukuh pendekatan teknokratik dan berasaskan data dalam kerajaan.

Namun, ini tidak bermaksud satu aliran mendominasi Kabinet. Perdana Menteri masih mengekalkan keseimbangan antara pelbagai kecenderungan dalam PKR dan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan.

Malah, kehadiran lebih ramai tokoh sehaluan dengan Rafizi juga membawa implikasi disiplin dalaman—bahawa Rafizi sendiri perlu lebih berhati-hati dalam kritikan terbuka, kerana sebarang kegagalan akan turut memalitkan persepsi negatif kepada kelompok yang dilihat sehaluan dengannya.

Risiko politik dan ukuran

Jika Kabinet baharu gagal menunjukkan hasil, risiko politik terbesar kepada kerajaan ialah hakisan keyakinan rakyat, khususnya dalam isu kos sara hidup, ekonomi dan kecekapan pentadbiran.

Kegagalan ini akan menjadi modal politik utama pembangkang, melemahkan naratif reformasi, dan menjejaskan sokongan menjelang pilihan raya akan datang.

Akhirnya, kejayaan rombakan ini tidak akan diukur melalui nama atau jawatan, tetapi melalui hasil konkrit dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

Jika rakyat merasakan perubahan dalam kehidupan seharian—kos sara hidup yang lebih terkawal, peluang pekerjaan lebih baik, dan perkhidmatan awam yang lebih cekap—maka rombakan ini akan dianggap berjaya. Jika tidak, ia akan dilihat sekadar langkah pendek, bukan pembaharuan sebenar.

Kesimpulan

Rombakan Kabinet ini mencerminkan strategi pengukuhan dan penstabilan, bukan reformasi radikal. Dalam konteks politik Malaysia yang kompleks, pendekatan ini dilihat bersifat pragmatik.

Namun, pragmatisme hanya akan bermakna jika ia diterjemahkan kepada prestasi dan hasil yang dirasai rakyat. Di situlah ukuran sebenar kejayaan Kabinet baharu ini akan ditentukan.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Pelan penafian minyak Miri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.