KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan setiap daerah di Sabah mempunyai kemudahan asas yang mencukupi sekiranya gabungan itu diberi mandat menerajui kerajaan negeri itu.
Kandungan penuh Aku Janji ini kita akan keluarkan dalam satu kenyataan dan ia merangkumi semua perkara termasuk pembangunan, ekonomi, modal insan, wanita, dan kebajikan.
“Berkaitan kebajikan, kita akan meningkatkan bantuan kepada ibu tunggal, warga tua dan banyak lagi. Kita lakukan ini disebabkan bantuan kebajikan yang diberikan kini iaitu antara RM200 hingga RM300 sebulan tidak lagi relevan dan perlu ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Aku Janji’ gabungan itu yang terdiri daripada BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Radin Malleh dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.
Sementara itu, Hajiji berkata Aku Janji itu tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua tahun tetapi selagi diberi mandat oleh rakyat, gabungan itu akan terus menunaikan Aku Janji itu.
Beliau berkata, empat teras utama dalam Aku Janji itu merupakan tawaran kepada rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan pengundian pada 26 September.
“Kita berharap dengan Aku Janji yang kami buat ini, kami yakin rakyat akan membantu dan memberi undi kepada calon Gabungan Rakyat Sabah,” katanya. – Bernama