
MIRI: Bandar raya Miri mencatat sejarah apabila menjadi bandar perintis pelaksanaan Sistem Keutamaan Isyarat Bas pertama di Malaysia.
Pelaksanaan sistem ini dilakukan menerusi operasi Perkhidmatan Bas Pintar, sekali gus memperkukuh mobiliti bandar yang lebih cekap, lancar dan mampan.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif berasaskan teknologi pintar itu selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan pengangkutan awam bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta kualiti hidup rakyat.
Menurut beliau, kesesakan lalu lintas merupakan cabaran global yang memberi kesan langsung terhadap produktiviti dan kesejahteraan masyarakat, justeru pengangkutan awam perlu dijadikan tunjang utama sistem mobiliti bandar.

“Pelaksanaan BSP membolehkan bas diberikan keutamaan di persimpangan lampu isyarat melalui sistem pintar, sekali gus mengurangkan masa menunggu, melancarkan aliran perjalanan dan meningkatkan ketepatan jadual perkhidmatan bas,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Operasi Sistem Keutamaan Isyarat Bas (BSP) bagi Bas Pintar di sini hari ini.
Kim Shin berkata , kerajaan Sarawak sebelum ini turut memperkenalkan 14 unit Bas Pintar di Miri, membuka Terminal Bas Miri Sentral serta melancarkan Aplikasi Pengangkutan Pintar Sarawak bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam.
Katanya, pelbagai inisiatif bersepadu itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih moden, inklusif dan mesra pengguna.
Oleh Liong Chai ling