KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan mengingatkan semua pihak bahawa DAP tidak boleh lagi diterima selepas Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chien Jen memohon maaf atas kenyataan memfitnah yang dibuat terhadap Penasihat Undang-Undang negeri Sarawak, Dato Sri JC Fong baru-baru ini.
Pengerusi SUPP Cawangan, Stakan Sim Kiang Chiok berkata, permintaan maaf tersebut merupakan kali kedua oleh Pengerusi DAP dan kenyataan berpotensi memfitnah ketika beliau menarik balik kenyataannya terhadap Ahli Parlimen Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan sebelum ini.
“Menurut syarat penyelesaian, Chong tidak hanya menarik balik pernyataannya terhadap Wan Junaidi, tetapi juga mengakui bahawa plaintif adalah seorang yang terhormat dan berintegriti.
“Selain itu, Chong juga akan membayar Wan Junaidi sebanyak RM25,000 dengan Wan Junaidi akan menarik balik tuntutannya tanpa kebebasan untuk mengemukakannya semula,” katanya.
Menurut Sim, DAP Sarawak telah menunjukkan dengan jelas bahawa mereka rela menyalahgunakan masyarakat dengan retorik dan janji kosong selagi memperolehi undi.
“Satu-satunya cara yang mungkin untuk menghukum perbuatan salah ini adalah memastikan DAP tidak mendapat undi kita lagi.
“Pengajaran ini akan menakutkan mana-mana ahli politik yang ingin mencontohi strategi DAP dan memastikan bahawa kita akan mempunyai wakil rakyat yang mempunyai maruah dan kehormatan selain daripada patriotisme yang mendalam kepada Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa DAP Sarawak telah kehilangan kredibilitinya apabila mereka gagal menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
“Setelah berkuasa di Putrajaya, janji mereka seperti 50 peratus pengembalian cukai yang dikutip di Sarawak dan 20 peratus royalti minyak dan gas dibiarkan, malah telah membiarkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menghentikan tambahan lima peratus cukai jualan yang dikenakan sebelum ini.
“Kita bernasib baik kerana sebagai orang sarawak kita mempunyai kepemimpinan yang sebenarnya iaitu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sekali gus memastikan kita menang melawan PETRONAS di mahkamah.
“Ini terbukti apabila Pakatan Harapan (PH) menegaskan bukan hanya untuk menafikan hak Sarawak namun secara aktif melakukan gerakan untuk menghapus tradisi lama Sarawak seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” jelas Sim.
Tambah beliau, kepemimpinan akar umbi tradisional di Sarawak adalah warisan pentadbiran Brooke dan selama ini tetap relevan dan baik tetapi DAP dan rakan-rakan mahu persekutuan mengambil alih perkara ini yang melanggar autonomi negeri ini dalam perkara itu.
“DAP Sarawak juga membenarkan Tanah Melayu menentukan syarat untuk hiburan dan berita dengan Kementerian Multimedia yang dikendalikan DAP yang mana menafikan liputan untuk Sarawak di RTM dan menolak Sarawak mempunyai stesen TV kita sendiri,” kata Sim.
Pada masa sama, beliau berkata DAP Sarawak telah menunjukkan bahawa mereka adalah ‘ejen’ di Tanah Melayu dan dengan berita baru-baru ini mengenai permintaan maaf atas kata-kata fitnah yang diucapkan yang menunjukkan dengan jelas watak sebenar DAP bahawa orang Sarawak mesti menolak semua pembohongan mereka pada masa depan dan tidak memberi ruang untuk politik ‘beracun’ di negeri ini.
“Kebenaran yang jelas dan sederhana adalah bahawa DAP tidak boleh dipercayai lagi kerana mereka telah kehilangan semua kredibiliti kerana telah dengan jelas berbohong dan gagal menepati janji mereka sendiri.
“Menurut pendapat kami, DAP tidak akan berhenti berbohong walaupun telah banyak kali diketahuinya kerana mereka masih berusaha mendapatkan undi dengan cara berbohong.
“Kita mesti menyokong mereka yang berani dan benar dan menghukum mereka yang menyesatkan dan menimbulkan kekacauan,” tambahny lagi.