
KUCHING: Isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta rundingan perjanjian komersial antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih dalam proses dan dijangka memerlukan sedikit masa sebelum dimuktamadkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sebarang pertemuan baharu berkaitan MA63 belum dapat ditetapkan buat masa ini memandangkan faktor ketidaktentuan politik pada tahun hadapan, termasuk kemungkinan berlaku rombakan kecil Kabinet.
“Kita tunggu dulu tahun depan. Takut nanti tahun depan ada rombakan dan tiba-tiba saya bukan lagi Timbalan Perdana Menteri, jadi susah untuk tetapkan awal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo hari ini.
Mengulas pandangan bahawa rombakan Kabinet yang dijangka hanyalah bersifat kecil, beliau mengakui perkara tersebut namun menegaskan kedudukan seseorang dalam kerajaan tetap tidak dapat dipastikan.
“Memang minor, tetapi kita tidak tahu kedudukan kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadillah turut menyentuh perkembangan rundingan perjanjian komersial antara Petros dan Petronas yang diharapkan dapat mencapai persetujuan pada awal tahun hadapan.
“Harap-harap ada persetujuan sebab pertukaran surat menyurat sudah ada. Sekarang tunggulah masing-masing mengemukakan persetujuan.
“Kalau tiada persetujuan, pada akhirnya terpaksa dibawa ke mahkamah, tetapi kita berharap perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pertukaran surat antara kedua-dua pihak menunjukkan rundingan masih sedang berjalan.
“Itu bermakna perundingan masih berlangsung,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh akhir rundingan tersebut akan dimuktamadkan kerana walaupun tarikh akhir telah ditetapkan, beliau sendiri tidak mengetahui bila ia akan dicapai.
Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 menghimpunkan pemimpin persekutuan dan negeri bagi membincangkan hala tuju pembangunan serta keutamaan ekonomi Sarawak menjelang tahun hadapan.
Oleh Adele Rissa