KUCHING: 100 peserta daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menyertai Konvoi Hari Malaysia 2020 semalam.
Dalam program konvoi itu, 20 kenderaan pacuan empat roda dan 20 motosikal menyertai konvoi bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang bermula di dataran Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menuju ke dua destinasi persinggahan iaitu Tanjung Bako dan Pasar Bako.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Hazland Abang Hipni berkata, konvoi itu diadakan bertujuan untuk menyemarakan lagi sambutan Hari Malaysia di kalangan golongan belia.
Menurutnya, program konvoi itu turut melakukan penjelajahan ke 28 kawasan di DUN Demak Laut untuk sambutan hari Malaysia.
“Konvoi Hari Malaysia ini merupakan acara tahunan di DUN Demak Laut, ia akan memberi pendedahan kepada golongan muda terutamanya erti perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu di Sarawak yang telah memperjuangkan pembentukan Malaysia.
“Sambutan Hari Malaysia tahun ini adalah sangat meriah jika dibandingkan tahun lalu.”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelepesan peserta konvoi bersempena dengan sambutan Hari Malaysia di kuching, semalam.
Sehubungan itu, satu jambatan yang menghubungkan BCCK ke Kampung Tanjung Bako dengan Samarahan akan dibina.
Katanya, pembinaan projek jambatan terbabit akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Sekiranya ada jambatan perhubungan dari BCCK ke Tanjung Bako ini ia akan menjadi hub pelabuhan perikanan dan nelayan terbesar di Asia Tenggara sekaligus meningkatkan sosio ekonomi masyarakat di kawasan tersebut.
“Selain daripada itu juga ia menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh pengguna jalan raya dari Samarahan.”katanya.