
KUCHING: Sebuah bot nelayan milik warga Indonesia karam di muara jeti pekan Sematan pagi tadi, namun kesemua tiga individu yang berada di atas bot tersebut berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata, Balai Polis Sematan menerima panggilan daripada orang awam sekitar 10.40 pagi memaklumkan kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati bot nelayan itu dinaiki seorang juragan dan dua awak-awak warga Indonesia. Mereka bertolak dari Sarasan, Indonesia pada 8.00 malam, semalam untuk menghantar hasil tangkapan ikan seberat dua tan ke Sematan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sekitar 10.30 pagi, bot berkenaan cuba memasuki kuala Sematan ketika air surut sebelum melanggar beting pasir, tersangkut dan dipukul ombak sehingga karam.
Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak pantas menyelamatkan ketiga-tiga mangsa menggunakan perahu. Pemeriksaan mendapati mereka memiliki dokumen perjalanan sah. Bot nelayan tersebut masih tersadai di kuala Sematan.
Sudirman menegaskan, insiden itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan tiada operasi mencari serta menyelamat diaktifkan.
“Setakat ini, mangsa bot karam masih belum membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut,” ujarnya.