SIBU: Kuasa dan hak-hak Sarawak dan Sabah harus dikembalikan sejajar dengan asas-asas pembentukan negara, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Dari perspektif Sarawak, beliau berkata, negara ini harus berbalik kepada asas penubuhan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.
“Saya yakin bahawa pengiktirafan terhadap asas ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia, bukan sebaliknya.
“Percayalah, melabelkan, khususnya Sarawak sebagai parokial atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara.
“Sarawak dan Sabah pasti hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan. Itu sahaja, nothing more and nothing less,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, semalam.
Abang Johari mengucap terima kasih kepada persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam beberapa perkara untuk mengembalikan hak-hak dan kuasa Sarawak dan Sabah pada masa ini.
Beliau juga merakam ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memahami aspirasi rakyat Sarawak untuk menggunakan hasil buminya bagi tujuan melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini.
“Petronas telah memberi komitmen untuk menjelaskan SST 5 peratus kepada Kerajaan Sarawak dan mengiktiraf hak Sarawak bagi mengenakan cukai jualan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan berdasarkan Oil and Mining Ordinance, 1958.
“Dari aspek komersil, terutamanya untuk membangunkan industri petrokimia di Sarawak, Kerajaan Sarawak mengambil sikap ‘win-win’ kerana konfrontasi yang berterusan akan membawa kerugian kepada semua,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Abang Johari, tempoh masa 1963 hingga 1970 adalah era yang amat mencabar bagi negeri ini kerana berhadapan dengan konfrontasi Indonesia dan ancaman komunis.
“Bantuan Kerajaan Persekutuan dan sahabat dalam Komanwel dari segi keselamatan telah memastikan semua cabaran ini dapat diatasi dengan jayanya.
“Selepas 1970, dengan sebuah kerajaan campuran yang terbentuk melibatkan kaum Bumiputera dan kaum Cina, Sarawak beransur-ansur beralih ke era yang lebih stabil dan mampu memberi tumpuan kepada usaha pembangunan.
“Tidak dapat dinafikan banyak yang sudah dicapai oleh Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia dalam tempoh masa 57 tahun.
“Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa Sarawak belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia.
“Apa yang penting bagi Sarawak ialah negeri ini harus terus mengorak langkah untuk meletakkan negeri ini di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030,” ujarnya.
Abang Johari juga berkata, perubahan yang berlaku pada 2018 selepas PRU14 apabila berlaku pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan, adalah suatu “turning point” yang membawa impak amat mendalam kepada iklim sosiopolitik negara.
Jelasnya, situasi ini harus dilihat dalam perspektif yang positif kepada usaha berterusan untuk memperkasakan pembangunan negara ini.
“Syukur Alhamdullilah, Sarawak sebagai sebuah entiti politik telah memainkan peranan yang penting untuk memastikan negara ini mampu distabilkan semula dan terbentuknya sebuah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menggalas tanggungjawab untuk mentadbir negara dengan berkesan.
“Atas kehendak ini, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memutuskan untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Perdana Menteri kerana Sarawak tidak ingin melihat Malaysia terjejas dalam keadaan tidak menentu,” ujarnya.
Sementara itu, sambutan Hari Malaysia 2020 telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Turut hadir, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil Kerajaan Sabah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Dato’ Saifuddin Abdullah merangkap pengerusi penganjur Hari Malaysia 2020, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom merangkap pengerusi penganjur bersama Hari Malaysia 2020 dan tetamu kehormat yang lain.
Oleh Nurzilla Mohamad/Akun Giman/Earl Anek