SIBU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memastikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di peringkat awal pembentukan Kabinet Kerajaan PN, beliau telah mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili.
“Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri.
“Majlis Khas ini akan turut dianggotai oleh Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.
“Majlis Khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Jelasnya, antaranya ialah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, Hak Negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.
“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan.
“Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Yang penting ialah usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Tambahnya, isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan dan sehati sejiwa.
“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan saya kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan sahabat baik saya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah berunding dengan Petronas untuk mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.
“Alhamdulillah, isu ini telah berjaya diselesaikan dengan beberapa perincian yang sedang dibincang oleh kedua-dua pihak. Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan…yang untung ialah rakyat.
“InsyaAllah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.
“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.
“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara,” katanya.
Tegas beliau, ini termasuk melaksanakan Ops Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
Oleh Akun Giman/Earl Anek/Nurzilla Mohamad