
LAWAS: Program Building Inclusive Community (BIC) 5.0 telah berjaya dilaksanakan selama dua hari, bermula 13 Disember dan berakhir semalam, sekali gus menjadikan Lawas sebagai lokasi terbaharu selepas Kuching, Betong dan Kapit.
Program tersebut merupakan anjuran AZAM Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Lawas serta sokongan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) Sarawak.
Seramai 70 peserta terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum, wakil agensi kerajaan, belia, usahawan tempatan serta NGO menyertai program tersebut.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ini mencerminkan komitmen kuat komuniti Lawas dalam memperkukuh kefahaman mengenai kepelbagaian, inklusiviti dan pembangunan sosial yang mampan.
Bertemakan ‘Tiada Komuniti yang Tertinggal’ menampilkan pendekatan interaktif seperti sesi refleksi, perbincangan berkumpulan, permainan kreatif serta pendedahan kepada konsep inklusif dan eksklusif.
Peserta turut diberi pemahaman mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan cabaran pembangunan setempat melalui sesi dialog bersama pemimpin tempatan.
Pelaksanaan kali ini turut disertai oleh AZAM Young Souls (AYS) sebagai fasilitator belia, menyuntik pendekatan pembelajaran segar dan dekat dengan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, berkata penganjuran BIC di Lawas merupakan langkah strategik bagi memastikan komuniti luar bandar dan kawasan sempadan turut mempunyai akses kepada platform dialog dan pembangunan insan.
“Lawas mempunyai kekuatan tersendiri dari segi masyarakat dan geografi. Dengan membawa BIC ke sini, AZAM ingin memastikan komuniti di kawasan sempadan tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri. Matlamat kami jelas iaitu tiada komuniti yang tertinggal dalam pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa Lawas merupakan siri terakhir BIC bagi 2025 sebelum program itu diperluaskan ke lebih banyak daerah dan bahagian lain pada tahun hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif iBrandium, Afiq Khatem, yang merupakan rakan kerjasama awal program BIC, menyifatkan perkembangan program ini sebagai pencapaian penting dalam usaha membina masyarakat inklusif.
“BIC bermula sebagai projek kerjasama antara YES Sarawak dan iBrandium bersama AZAM Sarawak untuk mengukuhkan pemahaman masyarakat terhadap kepelbagaian dan inklusiviti. Melihat program ini berkembang ke bahagian lain dan menjadi platform utama di bawah AZAM adalah satu perkembangan membanggakan,” katanya.
Majlis penangguhan program disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, yang hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program seperti BIC memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami peranan mereka dalam membina komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan progresif, serta yakin manfaatnya akan terus memberi kesan positif kepada Lawas.
Program itu turut mengukuhkan jaringan kerjasama antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan belia, serta menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih bersedia menghadapi perubahan dan memacu pembangunan setempat secara mampan.