Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • AirBorneo: Cabaran imbangi harga tiket, tawaran perjalanan lebih menarik
  • KOLUMNIS

AirBorneo: Cabaran imbangi harga tiket, tawaran perjalanan lebih menarik

Utusan Sarawak 18 hours ago

PENANTIAN kini tinggal kurang sebulan. Debaran dan keterujaan semakin memuncak. Sementara menunggu pesawat dengan livery AirBorneo melintasi ruang udara, syarikat penerbangan itu melancarkan laman sesawangwww.airborneo.com pada 10 Disember lalu sebagai salam perkenalan rasmi.

Langkah ini diambil bagi memastikan transisi antara MASwings dan AirBorneo berlangsung dengan lancar serta teratur, khususnya dalam urusan pembelian tiket dan pengurusan perjalanan menjelang 1 Januari 2026 nanti.

Pastinya detik ini akan terpahat sebagai sejarah baharu dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sarawak.

Pada masa sama, ia turut menandakan bermulanya amanah besar buat pengurusan AirBorneo untuk membuktikan keupayaan mereka dalam memenuhi jangkaan serta harapan tinggi yang telah diletakkan.

Namun, belum pun sempat pesawat sulungnya berlepas, para pengembara sudah mula membuat perbandingan harga tiket untuk mengintai tawaran yang lebih rendah.

Hal ini kerana rata-rata orang Sarawak berharap harga tiket AirBorneo ini rendah disebabkan ia didukung oleh kerajaan Sarawak.

Harapan ini bukanlah keterlaluan kerana harga tiket yang tinggi bagi perjalanan sehala ke Semenanjung terutama semasa musim perayaan sememangnya antara faktor utama di sebalik pengambilalihan MASwings ini.

Sebaliknya, harga yang dipaparkan di laman sesawang buat masa ini masih belum mencerminkan keceriaan dan keterujaan untuk terbang bersama AirBorneo.

Kredit foto melalui web AirBorneo.

Akan tetapi, dalam perkiraan untuk mendapatkan harga tiket yang murah, wajar kita menilai secara logik. Sekiranya tambang bas dari Kuching ke Bintulu sahaja sudah sekitar RM80, apakah dengan segala kelesaan, kepantasan masa dan keselamatan yang ditawarkan oleh penerbangan udara boleh dijual pada harga yang sama?

Begitu juga sebaliknya, timbul persoalan apabila tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching kadangkala lebih murah berbanding Kuching ke Bintulu jika menaiki AirBorneo berdasarkan harga semasa yang ditunjukkan.

Sekiranya diukur pada logik jarak penerbangan, perjalanan dalam Sarawak seharusnya lebih dekat dan sewajarnya lebih murah.

Hal ini disebabkan pelanggan sering keliru dengan pelbagai tawaran harga sehingga terperangkap dalam paradoks tambang penerbangan.

Keadaan ini membuatkan harga tiket kapal terbang kelihatan tidak logik atau bertentangan dengan jangkaan biasa daripada perspektif pengguna.

Oleh itu, perbandingan ini pastinya tiada kesudahan. Bagi kebanyakan orang awam, apa yang lebih utama ialah harga yang mampu dibeli di samping perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan.

Secara umum kita maklum bahawa industri penerbangan menanggung pecahan kos yang jauh lebih kompleks, merangkumi sewaan pesawat, tenaga kerja berkemahiran tinggi, penyelenggaraan berjadual serta bahan api yang sentiasa terdedah kepada turun naik pasaran global.

Tambahan pula, persaingan antara syarikat penerbangan untuk menembusi pasaran penumpang berlandaskan konsep perniagaan yang berbeza.

Ada syarikat sanggup menawarkan harga rendah, tetapi penumpang perlu menanggung bayaran tambahan bagi keperluan sampingan.

Ada pula syarikat yang kekal dengan perkhidmatan premium, walaupun harga lebih tinggi sedikit, tetap menjadi pilihan sebahagian pelanggan.

Perkara inilah cabaran besar pengurusan AirBorneo, iaitu mengimbangi harga yang wajar dengan tawaran perjalanan yang lebih menarik dan selesa.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam salah satu misi syarikat, AirBorneo berkomitmen untuk mengutamakan pelanggan dengan menjadi syarikat penerbangan pilihan bagi pengembara yang menghargai hospitaliti, perhatian terhadap perincian dan penjagaan sepanjang perjalanan.

Pengurusan AirBorneo boleh tampil lebih kreatif dan fleksibel dalam menawarkan keistimewaan khas sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan rakyat sendiri.

Keistimewaan ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui diskaun automatik bagi mereka yang mempunyai “K” pada kad pengenalan, program kesetiaan yang memberi ganjaran tambahan atau kemudahan khusus yang memudahkan perjalanan bagi komuniti pedalaman.

Pengambilalihan ini juga tidak serta-merta menukar peranan AirBorneo sehingga meninggalkan tanggungjawab Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Sebaliknya, tanggungjawab itu diteruskan sebagai fasa awal bagi memperkukuh keterjalinan dan keterhubungan rangkaian laluan pedalaman.

Tahun lalu sahaja, hampir 100,000 penumpang menggunakan lapangan terbang landasan pendek (STOLport), sekali gus membuktikan bahawa udara adalah nadi kehidupan masyarakat pedalaman.

Destinasi seperti Bario, Ba’kelalan dan Lawas menjadi contoh nyata bagaimana perkhidmatan udara membuka ruang mobiliti yang tidak mungkin dicapai melalui jalan darat.

Operasi ini dikendalikan terutamanya oleh pesawat turboprop kecil DHC-6 Twin Otter yang direka khusus untuk beroperasi di landasan pendek dan mencabar.

Perkara inilah yang menjadikan peranan AirBorneo selaras dengan nilai terasnya, iaitu sebagai pemangkin hubungan.

Dengan menyediakan akses kepada komuniti pedalaman dan pada masa sama memperkenalkan keindahan alam Borneo kepada pengembara, AirBorneo menzahirkan misi keterhubungan tanpa halangan.

Misi ini menjelaskan bahawa AirBorneo berperanan sebagai fasilitator perjalanan yang mudah dengan menghubungkan destinasi utama di seluruh Borneo serta meluaskan jaringan ke peringkat tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, setiap langkah perlu dilaksanakan secara berperingkat. Pada fasa awal ini, dengan kru yang diserap dari MASwings, tumpuan utama adalah memastikan kelangsungan jadual penerbangan sedia ada serta meningkatkan prestasi operasi agar lebih mantap.

Buat masa ini, laluan tambahan seperti ke Kuala Lumpur masih belum dapat ditawarkan kerana kekangan pesawat dan sumber manusia.

Justeru, pihak AirBorneo boleh mempertimbangkan untuk menjalankan tinjauan awam bagi mengenal pasti laluan yang mempunyai permintaan tinggi dan perlu diberi keutamaan.

Pada sisi lain, AirBorneo yang digambarkan oleh Premier Sarawak sebagai sebuah ‘jambatan’ sebenarnya berperanan membawa masuk pelancong, ahli perniagaan, penyelidik dan lain-lain secara terus ke wilayah ini dari destinasi strategik seperti Hong Kong, Shenzhen, Korea Selatan, Jepun dan lain-lain.

Laluan terus tanpa transit berupaya menarik lebih ramai penumpang ke Sarawak kerana ia bukan sahaja mengurangkan jangka masa penerbangan, malah menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

Aspirasi ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penerbangan Borneo, malah turut membuka ruang baharu bagi pembangunan industri strategik seperti aeroangkasa dan tenaga lestari termasuk bahan api penerbangan mampan.

Dengan pembangunan laluan yang dirancang teliti, usaha ini berpotensi memperluas jaringan perdagangan serantau, merangsang kerjasama akademik dan penyelidikan bertaraf tinggi serta memperkukuh pertukaran budaya dan mobiliti masyarakat.

Kejayaan AirBorneo tidak semata-mata bergantung kepada keupayaan perkhidmatan, tetapi ia perlu berada dalam ekosistem yang saling melengkapi.

Dalam ekosistem ini, kerajaan, rakyat dan sektor swasta mesti bergerak seiring, membentuk satu jaringan sokongan yang menjadikan aspirasi penerbangan ini lebih mantap.

Hasrat kerajaan Sarawak amat jelas. Strategi Pembangunan Pasca COVID‑19 2030 (PCDS 2030) menjadi garis panduan utama dalam menyusun setiap keperluan pembangunan di Sarawak.

Persoalan penting ialah bagaimana strategi ini dapat digerakkan agar matlamatnya benar‑benar tercapai?.

Antara langkah utama ialah pengagihan subsidi yang bijak, sama ada disalurkan secara langsung kepada AirBorneo atau melalui tambang yang lebih mampu dibayar oleh rakyat Sarawak.

Namun, ia perlu diimbangi agar tidak menjadikan subsidi ini beban yang mengganggu kelestarian kewangan kerajaan.

Subsidi harus dilaksanakan dengan strategi yang terarah bagi memastikan manfaat sampai kepada golongan sasaran sekali gus mengekalkan keterangkuman sosial dan pada masa sama memberi ruang kepada AirBorneo untuk beroperasi secara mampan.

Selain itu, infrastruktur penerbangan yang lengkap dan sistematik perlu diperkasa. Hal ini termasuk memastikan lapangan terbang dan STOLport diselenggara dengan baik melalui kerjasama bersepadu bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu perlu direalisasikan segera kerana kapasiti lapangan terbang sedia ada (gambar) telah melebihi had.

Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu perlu direalisasikan segera kerana kapasiti lapangan terbang sedia ada telah melebihi had.

AirBorneo memerlukan ruang untuk berkembang dan tanpa infrastruktur yang mencukupi, potensi laluan antarabangsa baharu akan terbatas.

Sokongan juga perlu diberikan kepada pembangunan pusat pelancongan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan sektor lain dalam bentuk dasar kerajaan yang mantap, pelaburan sektor swasta berterusan serta penglibatan masyarakat yang aktif.

Sokongan ini bukan sekadar dorongan, tetapi merangkumi tindakan nyata seperti penyediaan dana, insentif, kerjasama strategik dan penerimaan masyarakat terhadap inisiatif baharu.

Dengan sokongan dasar yang mantap, pelaburan berterusan dan kerjasama strategik, pusat pelancongan berupaya menarik lebih ramai pengunjung.

Hospital moden pula memperkukuh daya tarikan pelancongan kesihatan sebagai destinasi rawatan pilihan.

Pada masa sama, universiti melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, manakala sektor pertanian memperoleh akses pasaran yang lebih luas melalui jaringan udara.

Kesemua ini saling melengkapi dengan laluan penerbangan yang ditawarkan oleh AirBorneo menjadikan ekosistem penerbangan berfungsi secara optimum serta bergerak seiring dengan arus pembangunan sektor lain.

Rakyat Sarawak ialah nadi utama AirBorneo. Mereka bukan sekadar pengguna tetapi pemegang taruh yang berhak memahami situasi semasa.

Justeru, komunikasi yang jelas dan berkesan antara AirBorneo dengan rakyat amat penting agar setiap keputusan operasi dapat difahami, dihargai dan disokong.

Dengan keterbukaan maklumat, rakyat akan lebih bersedia menerima perubahan, malah turut mampu menyalurkan pandangan yang membina.

Lebih daripada itu, sokongan rakyat juga akan menjadi benteng pertahanan yang kukuh bagi memastikan AirBorneo terus teguh apabila berdepan cabaran.

Malah, sekiranya kakitangan dan kru penerbangan terdiri daripada rakyat Sarawak itu sendiri, nilai kebersamaan itu akan menjadi lebih mendalam.

Ia bukan sahaja memperkukuh rasa pemilikan, tetapi juga menambah keyakinan pelanggan kerana mereka dilayan oleh tenaga kerja tempatan yang memahami budaya, bahasa dan identiti Sarawak.

Namun perlu diakui, AirBorneo tidak akan mampu berkembang jika hanya bergantung kepada pasaran penumpang di Sarawak. Kolam pelanggan yang lebih besar berada di luar dan merekalah sasaran sebenar yang perlu dibawa masuk ke sini.

Kedatangan mereka bukan sahaja untuk mengisi tempat duduk di dalam pesawat tetapi juga membawa limpahan kemakmuran melalui peningkatan pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya yang akhirnya memperkukuh ekonomi serta imej Sarawak di pentas global.

AirBorneo, ia bukan sekadar syarikat penerbangan, ia ialah jambatan penghubung komuniti. Terbanglah setinggi‑tingginya dan bawalah bersama harapan serta kebanggaan rakyat Sarawak ke langit dunia.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Ekonomi Sarawak semakin mengukuh, keteq.ai menjelma

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.