
KUCHING: Kerajaan Sarawak kekal komited dalam membangunkan sukan berbasikal sebagai satu ekosistem menyeluruh yang melibatkan pembangunan akar umbi, sokongan kepada atlet berprestasi tinggi serta penyediaan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan sukan berbasikal tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara persatuan, kerajaan negeri, Perbadanan Sukan Sarawak serta sektor korporat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Makan Malam Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak di salah sebuah restoran, di sini malam ini.
Menurut beliau, penglibatannya dalam sukan berbasikal bermula sejak era 1970-an ketika Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak masih beroperasi di Gelanggang Temenggong, dengan tokoh-tokoh seperti Allahyarham Wahid Ibon dan Hamzah Drahman memainkan peranan penting dalam membentuk asas persatuan tersebut.

Karim yang juga pernah menerajui persatuan berkenaan berkata, landskap sukan berbasikal di Sarawak kini berkembang pesat dengan pengenalan disiplin baharu seperti basikal gunung (MTB) dan BMX, selain acara jalan raya dan trek yang menjadi tunjang sejak sekian lama.
Ditemui media selepas majlis itu, beliau berkata penganjuran majlis penghargaan berkenaan mencerminkan kematangan persatuan dalam mengiktiraf sumbangan atlet, pegawai teknikal serta individu yang menyokong pembangunan sukan berbasikal, apabila buat julung kalinya 20 individu menerima anugerah sebagai penghargaan terhadap jasa dan pencapaian mereka.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) yang hadir khas dari Bangkok sebagai satu pengiktirafan terhadap prestasi Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai persatuan berbasikal terbaik di Malaysia.
Mengulas cabaran pembangunan atlet, beliau berkata kos peralatan yang tinggi, dengan harga basikal kompetitif kini mencecah lebih RM20,000, memerlukan sokongan berterusan kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan bakat tempatan tidak tercicir daripada laluan prestasi tinggi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keperluan menyeimbangkan penganjuran acara berbasikal berunsur rekreasi dengan pembangunan atlet kompetitif, khususnya dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 17 tahun, bagi menjamin kesinambungan prestasi Sarawak pada masa hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek pembinaan velodrom di Sarawak telah diluluskan kerajaan negeri dan kini berada di peringkat akhir penyelesaian isu tanah, dengan tapaknya terletak bersebelahan Kompleks Sukan Sarawak, sekali gus berpotensi menjadi hab sukan terbesar di negara ini.
Menurutnya, kawasan seluas kira-kira 60 hingga 70 ekar itu turut dicadangkan untuk pembangunan kemudahan sokongan lain termasuk trek BMX serta fasiliti sukan tambahan yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak serta para penaja dan penyumbang yang terus memberi sokongan kepada pembangunan sukan berbasikal, sambil menyifatkan majlis penghargaan tersebut sebagai langkah penting menghargai sumbangan semua pihak.
Oleh Shikin Mahmud