
LINGGA: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan diharap terus membangunkan infrastruktur serta fasiliti pelancongan di daerah ini bagi memastikan penganjuran Regata Lingga pada tahun mendatang dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan selesa untuk para pengunjung.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, pembangunan berterusan di Lingga amat penting memandangkan regata bukan sahaja acara sukan air, malah platform penyatuan masyarakat serta pemangkin ekonomi setempat.
Menurut beliau, sejarah penganjuran regata di Sarawak yang bermula sekitar 1872 pada zaman Charles Brooke jelas membuktikan acara ini sejak awal berperanan memupuk perdamaian dan keharmonian antara kaum, semangat yang masih kukuh terpancar dalam Regata Lingga 2025.
“Dengan tema ‘Race for Unity’, penganjuran kali ini berjaya menerapkan elemen kerjasama dan semangat bersatu padu, selari dengan falsafah perlumbaan perahu yang menuntut setiap pengayuh bergerak seirama untuk sampai ke garisan penamat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Regata Lingga 2025 Edisi Ketiga di Tebingan Sungai Lingga yang telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, hari ini.
Mohamad Shafizan turut menyifatkan sambutan luar biasa terhadap pelbagai acara sampingan seperti Battle of the Band, Lingga Idol, Miss Regata, Jalan Santai, Jualan Rahmah dan Lingga Kitchen sebagai bukti Regata Lingga semakin diterima ramai, termasuk pengunjung dari luar daerah serta penyertaan antarabangsa dari Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan kerana menyenaraikan Regata Lingga dalam Kalendar Pelancongan Sarawak, sekali gus membuka ruang promosi lebih luas kepada daerah tersebut.
Mengulas peruntukan RM323 juta kepada kementerian itu di bawah Belanjawan Sarawak 2026, serta rekod 4.01 juta pelancong dengan hasil RM10.22 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, beliau berharap Lingga turut diberi peluang menyumbang kepada angka tersebut melalui pembangunan pelancongan yang lebih terancang.
Lingga, katanya, memiliki keunikan tersendiri seperti fenomena Benak, Gereja St. Paul Banting berusia 166 tahun, Gunung Lesung, Air Terjun Bukit Balau dan Taman Negara Maludam yang berpotensi besar sebagai destinasi eko-pelancongan.
Beliau optimis, apabila jaringan jalan menghubungkan Jambatan Lingga ke Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Lupar 2 siap kelak, Regata Lingga akan menarik lebih ramai penyertaan dan pelancong dari seluruh Sarawak, Sabah serta negara jiran, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk melalui sektor pelancongan, keusahawanan desa, pertanian dan perikanan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, dan Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.
Oleh Adi Safarman