
LINGGA: Usaha berterusan mengangkat nama daerah ini ke peringkat lebih tinggi mula menampakkan hasil apabila penganjuran Regata Lingga semakin mendapat perhatian, termasuk penyertaan pasukan dari luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun Regata Lingga baharu dianjurkan sebanyak tiga edisi, minat yang ditunjukkan amat memberangsangkan apabila pasukan dari Brunei Darussalam sanggup hadir untuk menyertai temasya tersebut.
Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan program yang dirancang di daerah ini berpotensi besar untuk berkembang menjadi satu festival atau temasya ternama di Sarawak sekiranya dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.
Beliau menarik perhatian kepada kejayaan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak yang bermula sekitar 30 tahun lalu yang bermula dengan hanya sekitar 300 penonton, namun selepas 29 penganjuran, jumlah pengunjung melonjak sehingga 30,000.
“Jika kita mahukan peningkatan dari tahun ke tahun, kita perlu ada semangat dan keberanian untuk menganjurkan acara yang mampu menarik minat pengunjung. Festival dan acara ini ibarat semut dengan gula, apabila ada tarikan, orang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Regata Lingga 2025 Edisi Ketiga di Tebingan Sungai Lingga, hari ini.
Tambah Abdul Karim, penganjuran acara berskala besar memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat tempatan apabila petani, nelayan, peniaga kecil, usahawan dan pengusaha makanan turut meraih manfaat hasil kehadiran pengunjung yang ramai.
Beliau berkata, dengan pembinaan jambatan dan jalan raya yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang, Regata Lingga berpotensi menjadi lebih besar sekiranya dipromosikan secara agresif dan terancang.
Sehubungan itu, katanya kementeriannya akan membantu menggerakkan penganjuran temasya bukan sahaja di sini, malah di seluruh Sarawak, termasuk menyalurkan dana yang lebih besar kepada Regata Lingga sejajar dengan peningkatan kemudahan infrastruktur.


Abdul Karim turut memaklumkan, selaras nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penganjuran Regata di seluruh Sarawak dicadangkan diadakan dua tahun sekali dan diselang-selikan dengan acara lain seperti karnival makanan dan kebudayaan.
“Makanan adalah tarikan utama pelancongan. Kita lihat kejayaan festival makanan di Samarahan apabila hasil jualan meningkat daripada RM200,000 kepada RM300,000.
“Saya yakin dalam beberapa tahun akan datang, Lingga akan muncul sebagai nama ikonik bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh Malaysia,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.
Oleh Adi Safarman