
KUCHING: Sarawak sedang merangka masa depan sistem kesihatannya melalui Pelan Induk Kesihatan Awam Sarawak 2050, satu pelan jangka panjang yang memberi tumpuan kepada kemampanan, keadilan akses dan keupayaan negeri menangani cabaran kesihatan mengikut realiti tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata pelan tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan firma perunding antarabangsa, menjadikan Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang membiayai sendiri perancangan kesihatan awam berskala sedemikian.
“Perancangan itu penting bagi memastikan sistem kesihatan Sarawak kekal relevan dalam menghadapi cabaran geografi yang luas, taburan penduduk tidak sekata serta peningkatan beban penyakit tidak berjangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-53 Persatuan Perubatan Malaysia Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Mengulas keupayaan semasa, Dr Sim memaklumkan Sarawak kini mempunyai 27,255 petugas kesihatan kerajaan daripada 30,523 jawatan yang diluluskan, namun lebih 5,000 jawatan masih belum diisi, termasuk kekurangan hampir 2,000 doktor berbanding nisbah nasional.
“Kekangan tenaga kerja ini memberi kesan langsung kepada keupayaan perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Dari segi peruntukan, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerima RM2.96 bilion dana operasi dan RM505.3 juta dana pembangunan pada 2025, mencerminkan keperluan yang semakin meningkat selari dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan infrastruktur kesihatan.
Beberapa projek utama turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan, termasuk Hospital Lawas baharu yang hampir siap sepenuhnya serta Hospital Petra Jaya yang dijangka siap pada Februari 2026.
Usaha menaik taraf klinik uzur juga menunjukkan hasil positif apabila peratusannya berjaya dikurangkan melalui pelaksanaan inisiatif Bitara Madani.
Dalam pada itu, Dr Sim menekankan keperluan mendesak untuk menambah baik pengurusan sisa klinikal, khususnya di kawasan terpencil seperti Bario, Belaga, Limbang, Lawas dan Mukah yang berdepan kos logistik tinggi serta perkhidmatan tidak konsisten.
“Penyelesaian yang dipacu Sarawak sendiri membolehkan kita mengurangkan kos, meningkatkan liputan perkhidmatan dan pada masa yang sama melindungi kesihatan awam serta alam sekitar,” katanya.
Beliau turut menyentuh keupayaan kewangan negeri yang semakin kukuh hasil dasar fiskal berani, membolehkan Sarawak melabur semula dalam sektor kritikal termasuk kesihatan dan pendidikan demi kesejahteraan jangka panjang rakyat.
Oleh Adele Rissa