

DARO: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Sirik, Pulau Bruit, Daro memasuki hari kedua hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie, berkata operasi dijalankan dalam radius pencarian lingkungan dua batu nautika dari pesisir pantai.
“Operasi hari ini membabitkan 50 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta 37 penduduk kampung. Pasukan SAR dibahagikan kepada empat sektor,” katanya ketika dihubungi.
Kejadian sekitar 7.00 pagi semalam berlaku ketika mangsa bersama adik iparnya bertolak dari Kampung Betanak menuju ke Kuala Matu menggunakan sebuah bot yang baru dibeli.
Dalam perjalanan, bot berkenaan dipukul ombak besar berhampiran Tanjung Sirik, menyebabkan kedua-dua mereka tercampak ke laut. Mereka kemudian cuba berenang ke pantai pada jarak sekitar 0.54 batu nautika dari lokasi bot karam.
Ketika kejadian, laut bergelora manakala keadaan cuaca dilaporkan cerah.
Mangsa yang keletihan dipercayai meminta adik iparnya meneruskan usaha berenang ke pantai. Adik iparnya beberapa kali cuba menarik mangsa bersamanya, namun mangsa tidak lagi berupaya.
Hanya adik iparnya berjaya sampai ke pantai sebelum diselamatkan seorang nelayan yang kebetulan berada di kawasan tersebut. Beliau kemudian memaklumkan kejadian itu kepada keluarga di kampung.
Oleh Akun Giman