Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Pendakwaan diberi tempoh seminggu, teliti rayuan pembebasan Syed Saddiq
  • MAHKAMAH

Pendakwaan diberi tempoh seminggu, teliti rayuan pembebasan Syed Saddiq

Utusan Sarawak 4 hours ago
AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditemani ahli keluarga hadir di Istana Kehakiman pagi ini bagi mendengar rayuan akhir pendakwaan berhubung pembebasan beliau daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memberi tempoh masa seminggu kepada pihak pendakwaan, untuk meneliti semula rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian mereka, sama ada mahu meneruskan rayuan itu atau sebaliknya.

“Saya berharap anda balik dan berbincang. Jika anda (pendakwaan) masih mampu membuktikan kes anda, teruskan…tetapi jika selepas meneliti semula, anda merasakan ia tidak begitu kukuh, maka anda perlu maklumkan kepada kami.

“Sama ada anda berada di Pulau Carribean atau mana-mana tempat eksotik, sejujurnya kami tidak peduli. Kami tidak akan membuat sebarang keputusan buat masa ini. Pihak-pihak mesti memberitahu kami dalam masa seminggu,” kata Hakim Abu Bakar selepas mendengar hujahan lisan pihak pendakwaan dan peguam.

Hakim Abu Bakar yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata semasa beliau bertugas sebagai timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara, menjadi kebiasaan untuk mereka mengadakan mesyuarat dan menyemak semula hujahan.

Beliau berkata ketiga-tiga panel hakim telah membaca hujahan pihak perayu dan responden, dan akan menulis penghakiman serta mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis tambahan dalam tempoh seminggu diikuti hujahan tambahan peguam.

Pada 25 Jun, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Beliau turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq berkata Ahli Parlimen Muar itu tidak mendapat sebarang manfaat kewangan berkaitan pengeluaran RM1 juta daripada dana Armada dan tidak wujud sebarang niat oleh anak guamnya untuk menyebabkan kerugian kepada Armada atau keuntungan yang salah untuk dirinya.

“RM1 juta itu diperuntukkan untuk program Armada seperti bantuan COVID-19, Raya, Ramadan dan kebajikan,” katanya semasa prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar itu daripada pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.

Peguam itu berkata Mahkamah Rayuan mendapati tiada bukti bahawa pembantu bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), bertindak secara tidak jujur ketika mengeluarkan wang RM1 juta tersebut.

“Selain itu, SP13 sendiri mengakui bahawa beliau tidak tahu perbuatan mengeluarkan RM1 juta itu adalah salah,” katanya.

Berhubung pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, peguam tersebut berkata pertuduhan itu cacat dan tidak berasas, kerana tidak menyatakan bahawa harta yang disalahgunakan itu milik mana-mana pihak lain selain responden.

Peguam itu berkata Mahkamah Rayuan tidak tersilap dari segi undang-undang apabila membuat keputusan itu, memandangkan kesalahan asas di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan tidak dibuktikan, maka pertuduhan pengubahan wang haram tidak boleh dikekalkan.

“Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh dirayu apabila mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap responden,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tiada prospek kejayaan, AGC tarik balik rayuan terhadap pembebasan Rosmah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.