Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Dasar baharu perlu seimbang antara perlindungan dan pemerkasaan kanak-kanak
  • PENDIDIKAN

Dasar baharu perlu seimbang antara perlindungan dan pemerkasaan kanak-kanak

Utusan Sarawak 7 hours ago
TAHNIAH… Lau (dua kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Pelajar 2025 kepada Chiew Hui Jin. Turut kelihatan ialah Goi (kiri) dan Wong (tiga kiri).

SIBU: Sebarang penggubalan dasar mesti mengimbangi aspek perlindungan dan pemerkasaan agar tiada undang-undang dilihat mampu menggantikan peranan bimbingan orang dewasa dalam kehidupan seorang kanak-kanak.

Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, ibubapa dan guru kekal sebagai penjaga paling penting terhadap kesejahteraan pelajar.

“Selain bergantung kepada dasar, ibubapa boleh membantu anak-anak dengan memahami tabiat mereka di alam maya, berbincang secara terbuka mengenai risiko digital, menetapkan sempadan yang sihat serta memupuk kawalan diri dan pemikiran kritis.

“Guru pula memainkan peranan penting memperkukuhkan kewarganegaraan digital, menangani pembulian siber, mengurus konflik dalam talian dan berkomunikasi secara bertanggungjawab di ruang digital.

“Apabila orang dewasa berganding bahu, kita membantu golongan muda membina bukan sahaja kesedaran keselamatan, tetapi juga kebijaksanaan dan kematangan untuk menggunakan teknologi secara bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Penyampaian Anugerah Tahunan sekolah yang diadakan di dewan sekolah, hari ini.

Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa mulai 2026, kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar atau menggunakan akaun media sosial.

Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, platform dalam talian diwajibkan melaksanakan pengesahan ID elektronik bagi mengesahkan umur pengguna.

Menurut Lau, dasar tersebut bertujuan melindungi golongan muda daripada pendedahan kepada kandungan ganas dan tidak sesuai, pembulian siber, pemangsa dalam talian, penipuan serta ketagihan digital.

“Rsiko ini semakin ketara dalam dunia masa kini yang menyaksikan ruang digital dan fizikal saling berkait rapat.

“Penyokong dasar itu percaya ia merupakan langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital lebih selamat dan sihat untuk kanak-kanak, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya dan membantu perkembangan golongan muda pada kadar lebih seimbang.

“Namun, ada juga pihak menyuarakan kebimbangan bahawa sekatan ketat mungkin mengehadkan akses kepada sumber pembelajaran, menjejaskan literasi digital atau menyukarkan komunikasi sekolah sekiranya platform yang biasa digunakan seperti WhatsApp termasuk dalam takrif media sosial,” ujarnya.

Beliau mengingatkan para pelajar yang bakal meninggalkan sekolah supaya terus berpegang kepada nilai-nilai yang diterapkan sepanjang persekolahan.

“Kejayaan bukan ditentukan hanya oleh bakat, tetapi ketabahan, bukan hanya oleh kepintaran tetapi sahsiah dan bukan hanya oleh ilmu tetapi keberanian menggunakan ilmu itu dengan bijaksana.

“Dunia yang bakal kamu tempuhi berubah dengan pantas, penuh cabaran yang tidak pernah dialami generasi terdahulu.

“Tetapi ia juga penuh dengan peluang. Dengan minda serta disiplin yang betul, kamu mampu menjadikan halangan sebagai batu loncatan,” kata beliau.

Turut hadir Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Dr Wong Soon Ting dan Pengetua, Goi Nguok Yew.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Kerajaan bakal tubuh jawatankuasa khas kaji cadangan pemindahan STPM, Matrikulasi bawah KPT
Next: Peralihan STPM, Matrikulasi ke KPT tidak jejas pembelajaran pelajar – Wong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.