MUKAH: Peranan atau sumbangan rakyat Sarawak terutama “Penjejak Iban/Peninjau atau Renjer Sarawak” (Iban Trackers/Sarawak Rangers) dalam mengawal dan memerangi ancaman Komunis Malaya amat besar.
Pendapat tersebut datangnya daripada seorang veteran, Thomas Ling Kui Eng, yang sememangnya lantang dalam memperjuangkan nasib bekas prajurit tanah air.
“Anak-anak muda kita sanggup meninggalkan keluarga di Sarawak untuk membantu tentera British khususnya dari Rejimen Gurkha berjuang menentang pengganas komunis di Malaya dan Singapura pada era darurat (pada masa itu Sarawak belum bergabung dengan Malaya untuk menubuh sebuah negara bernama Malaysia). Antaranya ialah Lans Korporal Ungkok Jugam. Dia dipercayai terkorban di antara 1948 hingga 1960,” ujarnya.
Kira-kira lapan tahun lepas, kerajaan telah membuat satu keputusan tepat untuk mengkebumikan semula kesemua rangka 21 anggota Iban Trackers yang terkorban di Semenanjung Malaysia dan Singapura ketika menentang komunis dulu.
Tambahnya, keadaan darurat pada masa itu membuatkan mereka (Iban Trackers) dikebumikan serta-merta di tempat mereka terkorban, walaubagaimanapun, pihak kerajaan telah bersetuju membawa pulang kesemua pahlawan Iban ini dari tempat mereka disemadikan.
“Dinamakan majlis ‘Miring Ops Mai Pulai’ (Ops Bawa Balik) anggota Iban Trackers itu antaranya ialah Ungkok Jugam, Jaweng Jugah, Unggat Ujom, Ugap Utut, Letan Kusing, Nyambik Pasang, Kumpang Tinggi, Bulan Kasau, Kelambu Gadung, Untang Engan, Rejap Bagi, Entap Tulu.Turut dibawa pulang ialah Nyantau Juna, Manit Cheling, Nyaru Talap, Mat Akit, Empati Dugu, Adrain Tandang, BS Utot Tanggang, Dampi Berain dan Janggak Ingkoi,” katanya lagi.
Yang Dipertua Persatuan VeteranTentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Bahagian Negeri Sarawak merangkap mantan Ketua Cawangan Sibu Persatuan Bekas Tentera Malaysia ( PBTM) dan President Persatuan Veteran Tentera Malaysia Sarawak (PVTMS), Thomas Ling, ini berkata ‘Peninjau Iban’ ini adalah frontliners dalam perjuangan berkenaan.
“Kepakaran mereka di dalam kerja penjejakan musuh dalam hutan memang diakui, justeru saya dengan berani menyatakan rakan-rakan Iban Trackers ini adalah frontliners yang sebenar dalam peperangan kita dengan komunis dahulu terutama sekali yang melibatkan operasi dalam hutan,” kata Ling lagi.
Katanya, Iban Trackers ini mempunyai kepakaran menjejak yang hebat, justeru mereka amat diperlukan dalam mana-mana operasi ketenteraan di dalam hutan pada ketika itu.
“Ingatlah, jasa para pejuang Iban ini pada negara kita sangat hebat dan tiada galang gantinya…tiada apa yang dapat dibuat bagi membalas keberanian dan kecekalan mereka terhadap negara tercinta. Sayang sekali, mereka tidak dapat melihat pembentukan Malaysia dan kemakmuran yang kita semua nikmati ketika ini. Tanpa sumbangan dan pengorbanan anggota Iban Trackers, mungkin kita tidak dapat hidup aman dan selesa sepertiyang kita nikmati sekarang,” kata Ling lagi.
Bercakap kepada Utusan Sarawak, beliau menganggap kepakaran mereka dalam menjejaki musuh di dalam hutan itu memang tidak ada tolok bandingnya.
“Saya secara peribadi memang menganggap peranan mereka di dalam perjuangan kita dengan Komunis pada saat itu memang besar. Dan memanglah, kemenangan itu adalah sumbangan dan kemenangan dalam pasukan dan semua bekas-bekas tentera yang terlibat dengan peperangan mempertahankan negara. Dalam peperangan dengan komunis, ramai juga tentera kita yang terkorban dan tercedera,” kata beliau lagi.
Beliau sempat menyelami perit jerih wira-wira kita di dalam konfrontasi dan perjuangan dengan komunis seperti mengharungi kehidupan dalam hutan dalam serba kekurangan.
“Saya bercakap bukan dari pengalaman saya sendiri tetapi perkongsian daripada rakan-rakan seperjuangan. Amat memeritkan semasa beroperasi di dalam hutan, bukan hanya sehari dua sahaja. Istilahnya ‘masuk hutan rambut pendek dan keluar rambut panjang’ itu adalah senario biasa bagi rakan-rakan. Malah ada di antara bekas tentera yang hidup sampai dengan peluru di dalam badan sampai kini,” katanya lagi.
Kadang-kadang katanya, mereka yang beroperasi di hutan terpaksa memakan apa sahaja yang ada yang boleh dijadikan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Keprihatin Thomas Ling terhadap veteran-veteran ini lebih terserlah kerana beliau adalah antara yang menyuarakan agar Sarawak atau Malaysia ada kementerian khusus untuk menjaga veteran-veteran.
Ling telah bertugas dengan TLDM selama 13 tahun dan manamatkan perkhidmatan pada 1990, seterusnya melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan pertanian di Mukah dan sangat aktif dengan NGOs berkaitan veteran.
“Namun dua tahun yang lalu saya sudah mengambil keputusan untuk berehat, dan mungkin saya akan meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua PVTLDM,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, Thomas Ling telah terlibat dalam penganjuran Kaunter Bergerak yang dianjurkan oleh PVTLDM PVTMS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) di Bandar Mukah.
Berlangsung di Dewan Suarah Mesra Mukah ia telah dihadiri oleh veteran dari beberapa daerah di Bahagian Mukah iaitu Mukah, Matu, Daro, Igan, Balingian, Oya, Dalat, Tanjung Manis, dan Belawai.
Veteran-veteran ini berinteraksi terus dengan Pengarah JHEV Cawangan Sarawak Mejar Pahot Joll pada sesi dialog sempena dengan program berkenaan.
Ia menyaksikan pengutaraan pelbagai masalah yang dihadapi oleh mereka, cadangan yang bernas, pemohonan Bantuan Sara Hidup, termasuk membuat kad veteran ATM atau penggantian semula kad, penerangan mengenai pemohonan bantuan dan kemudahan, peralatan pesakit, kemasukan anak ke IPT, khairat kematian dan lain-lain lagi.
Sementara itu, Majar Pahot mendedahkan setakat ini ada seramai 22,000 veteran-veteran di dalam senarai JHEV Cawangan Negeri Sarawak yang membabitkan sebelas buah persatuan-persatuan berkaitan bekas prajurit atau tentera di negeri ini.
Selain Pahot dan Thomas Ling, juga kelihatan pada program tersebut ialah Presiden PVTMS, Francis Yeo Wan Hui.
Ketiga-tiganya juga berharap pengwujudan Kementerian Veteran akan dipertimbangkan oleh kerajaan pusat mahupun negeri demi kesejahteraan veteran-veteran yang telah menyumbang bakti kepada negara.
Oleh Henry B Siyu