
LAWAS: Bumi Sarawak yang dilimpahi rahmat sumber alam yang kaya memerlukan peruntukan besar dalam memetakan dan mengenal pasti kawasan sesuai untuk aktiviti perlombongan.
Perkembangan teknologi dan keperluan menghasilkan sumber untuk teknologi itu sendiri masih banyak belum diterokai sepenuhnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu kerja pemetaan dan dokumentasi kawasan tanah Sarawak yang luas dan kaya dengan sumber alam itu masih dilaksana sepenuhnya.
“Industri mineral dan pengkuarian yang sebelum ini bersifat domestik kini berkembang menjadi salah satu sektor ekonomi utama Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Sri Abdullah Julaihi, menjelaskan bahawa pelan induk negeri turut merangkumi pembangunan industri mineral.
“Walaupun banyak kawasan di Sarawak telah diterokai melalui pemetaan geologi, masih terdapat banyak kawasan lain yang belum diliputi pemetaan tersebut, sedangkan ia merupakan aspek yang sangat penting,” katanya semasa majlis pelancaran Akademi Perlombongan dan Kuari Hijau di sebuah hotel terkemuka di sini, petang tadi.

Seterusnya, Awang Tengah turut menegaskan keperluan pihak Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan secukupnya bagi memastikan kerja pemetaan geologi tanah di Sarawak dapat dilaksana sepenuhnya.
“Kita telah menyuarakan keperluan ini dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim agar peruntukan yang mencukupi diberikan kepada geosains di Sarawak untuk melaksanakan pemetaan geologi.
“Langkah ini penting supaya pemetaan dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan komprehensif, sejajar dengan hasrat kita membangunkan sektor perlombongan. Kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan Baru Bian dan tetamu kenamaan lain.
Oleh Adeng Edrus