Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • DBKU perkukuh kesiapsiagaan hadapi musim tengkujuh
  • Selatan
  • WILAYAH

DBKU perkukuh kesiapsiagaan hadapi musim tengkujuh

Utusan Sarawak 9 hours ago

DATO Hilmy Othman meninjau persiapan aset operasi banjir di DBKU@DEPO, hari ini, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh. Turut hadir pegawai-pegawai kanan DBKU yang terlibat dalam operasi pengurusan bencana.

PETRA JAYA: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh melalui penyelarasan aset, pengaktifan jawatankuasa bencana serta pemeriksaan logistik di DBKU@DEPO, hari ini. 

Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, DBKU telah menggerakkan persediaan lebih awal selaras dengan ramalan hujan lebat dan risiko banjir kilat yang dijangka berlaku sepanjang musim monsun. 

Beliau berkata tindakan proaktif itu selaras dengan arahan Pejabat Premier Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Setiap tahun, musim tengkujuh membawa cabaran tersendiri. Namun dengan pengalaman terdahulu serta perancangan rapi, kita yakin situasi adalah terkawal. Fokus utama ialah memastikan keselamatan masyarakat dan memastikan operasi penyelamatan dapat dijalankan dengan pantas,” katanya.

DATO Hilmy Othman bercakap pada sidang media selepas lawaran persiapan banjir – operasi pengurusan bencana DBKU@DEPO hari ini.

Sebanyak 56 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan DBKU dikenal pasti sedia diaktifkan pada bila-bila masa, melibatkan kapasiti penempatan seramai 12,000 mangsa sekiranya berlaku banjir besar. 

PPS tersebut merangkumi kampung-kampung berisiko tinggi termasuk Kampung Bintawa Hulu, Kampung Pinang Jawa, Kampung Buntal, Kampung Astana, Kampung Semerah Padi serta beberapa kawasan di Jalan Hospital dan Jalan Astana.

Pada masa sama, DBKU turut menempatkan dan menyelenggara aset penting seperti bot penyelamat, kenderaan pacuan empat roda, lori berbumbung, lampu tiang tinggi, traktor, pita keselamatan, dan pelbagai peralatan sokongan termasuk satu generator mudah alih untuk menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik di kawasan kritikal.

Dato Hilmy berkata, sistem pemantauan turut dipertingkatkan dengan penggunaan 80 unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan hotspot sekitar bandar raya. CCTV tersebut disambungkan terus kepada Pusat Khidmat 24 Jam (PK24J) yang berfungsi memantau keadaan cuaca, paras air dan kejadian kecemasan secara masa nyata.

Selain itu, tiga unit operasi DBKU iaitu Unit Bantuan Kecemasan, Unit Rondaan dan Unit Kawalan Lalulintas digerakkan secara bersepadu bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kenaikan paras air secara mendadak. 

DATO Hilmy Othman rakam kenangan bersama pegawai-pegawai DBKU yang terlibat serta pasukan operasi selepas lawaran persiapan banjir – operasi pengurusan bencana DBKU@DEPO, hari ini.

Kerja-kerja penyelenggaraan perparitan, termasuk flushing dan pembersihan longkang utama, turut dipercepatkan untuk meningkatkan kecekapan aliran air di kawasan rendah.

Mengulas kejadian banjir sementara di Sungai Batu dan Sungai Midin baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa pusat pemindahan sementara hanya diaktifkan selama satu hari berikutan paras air cepat menurun hasil penambahbaikan saliran dan langkah mitigasi yang dilaksanakan DBKU dalam tempoh dua tahun terakhir.

“Keadaan cuaca ketika ini masih terkawal. Walaupun beberapa kawasan dikenal pasti berisiko, sistem perparitan yang telah dinaik taraf diyakini mampu mengurangkan impak limpahan air. Jika berlaku banjir, ia dijangka bersifat sementara dan paras air akan surut dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia. Orang ramai juga digesa menghubungi talian kecemasan DBKU atau saluran WhatsApp rasmi sekiranya mendapati sebarang insiden berkaitan banjir atau hal-hal keselamatan.

“Saya menggesa kerjasama semua pihak ketua masyarakat, ketua kaum, LPP, MKKK dan penduduk setempat. Kesiapsiagaan kita hanya berjaya apabila masyarakat turut memainkan peranan. Insya-Allah, dengan persediaan yang ada, kita dapat menghadapi musim ini dengan lebih teratur dan berkesan,” jelas beliau.

Lawatan persiapan itu turut melibatkan demonstrasi aset, taklimat teknikal operasi bencana dan semakan keupayaan logistik bagi memastikan jentera DBKU berada pada tahap optimum sepanjang musim hujan.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Batu Niah dilanda banjir, bekalan air terjejas
Next: Paip air pecah akibat kerja pembinaan Projek KUTS di Taman Stutong Indah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.