
KUCHING: Belia Sarawak kini bukan lagi sekadar golongan penerima dasar, sebaliknya diangkat sebagai penyumbang idea dan pelaksana dasar negeri.
Peranan mereka turut diperkukuh sebagai pewaris legasi pembangunan yang memberi impak kepada masa depan Sarawak.
Pengiktirafan ini dizahirkan melalui Program Suara 2.0 atau Perikatan Kekuatan Melalui Perpaduan dan Tindakan Responsif 2.0 yang dianjurkan oleh Yayasan Perpaduan Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman berkata, program selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 60 belia dari seluruh Sarawak melibatkan pelajar IPTA dan IPTS bagi merangka pandangan mereka tentang masa depan Sarawak.

“Saya sangat terkesan dengan tahap kefahaman mereka yang begitu baik mengenai MA63 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Mereka bukan sahaja faham, tetapi mampu mengutarakan bagaimana mereka sendiri boleh memainkan peranan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui media di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Tambah beliau, belia telah mengutarakan beberapa cadangan dan pandangan yang diambil serius oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan dijadikan polisi kerajaan.
“Mereka berperanan sebagai penyumbang dalam pembentukan polisi, penggerak kerana akan membantu melaksanakan dasar, dan pewaris kerana merekalah generasi yang akan mewarisi dan memastikan kesinambungan inisiatif seperti Dana Kekayaan Negara, PCDS 2030, inisiatif hidrogen dan ekonomi hijau.
“Kerajaan Sarawak tidak bergerak secara spontan, sebaliknya mempunyai pelan strategik yang terperinci dalam menyediakan belia dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk masa depan,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa antara pendekatan utama ialah pengukuhan pendidikan teknikal melalui institusi seperti CENTEXS yang bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan pelatih memperoleh peluang pekerjaan sebaik tamat latihan.

“Inisiatif seperti ekonomi hijau, pembangunan hidrogen, projek jana kuasa seperti Miri CCGT serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan memerlukan tenaga mahir. Belia kita sedang dipersiapkan dari sekarang untuk menyambung legasi ini.
“Belia juga mengemukakan beberapa cadangan penting dalam aspek pendidikan, termasuk sokongan kepada pelajar yang sudah bekerja tetapi ingin melanjutkan pelajaran tanpa meninggalkan kerjaya.
“Terdapat idea-idea yang sangat bernas daripada belia dan cadangan ini akan kita kemukakan kepada Yayasan Sarawak serta kepada Premier Sarawak untuk pertimbangan selanjutnya,” ujarnya.
Program Suara 2.0 dilihat sebagai platform strategik dalam melahirkan generasi pemimpin muda Sarawak yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi memiliki rasa tanggungjawab untuk meneruskan hala tuju pembangunan negeri demi kesejahteraan masa depan.
Oleh Masrin Affirah