
KUCHING: Ekosistem pendidikan digital Sarawak diperkukuh lagi apabila sebanyak 369 bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negeri akan dipasang dengan kemudahan Bilik Darjah Pintar (Smart Classroom) menerusi peruntukan RM5 juta daripada kerajaan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata peruntukan itu disalurkan melalui Jawatankuasa Penasihat Sekolah Cina Sarawak, sebelum ini dikenali sebagai Unit Khas Hal Ehwal Sekolah Cina, dan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Sarawak.
Menurutnya, usaha itu adalah lanjutan komitmen Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang sejak awal 2000-an telah menyediakan antara RM8 juta hingga RM12 juta setiap tahun bagi pemulihan dan pembangunan sekolah rendah Cina di negeri ini.
“RM5 juta tahun ini diputuskan khusus untuk mempercepat pemasangan Bilik Darjah Pintar agar guru dapat menyediakan pengajaran secara sistematik dan berkualiti, selaras keperluan pelajar masa kini,” katanya pada sidang media penyerahan peralatan Bilik Darjah Pintar di Sekolah Menengah Chung Hua No. 3, di sini, hari ini.
Daripada 369 bilik darjah tersebut, Kuching/Samarahan/Serian menerima jumlah tertinggi sebanyak 166 bilik darjah, diikuti Sibu/Mukah/Kapit (68), Miri/Limbang (38), Bintulu (32), Sarikei (23) serta Sri Aman/Betong (42). Pemilihan Smart TV bersaiz 75 atau 86 inci pula ditentukan berdasarkan kapasiti murid setiap sekolah.
Dr. Sim berkata syarikat swasta turut membantu menguruskan pemasangan bagi memastikan keseragaman spesifikasi dan kepantasan pelaksanaan, sekali gus memperkemas penggunaan peralatan digital dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Kami mahu memastikan semua sekolah rendah Cina yang belum mempunyai Bilik Darjah Pintar akan mendapatnya. Ini bukan sahaja memantapkan mutu pembelajaran, tetapi juga meringankan beban guru menyediakan bahan mengajar,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan RM5 juta tambahan akan disediakan tahun depan bagi fasa seterusnya, termasuk pembelian peralatan sains dan teknologi seperti set robotik, pencetak 3D dan dron, bagi memupuk minat murid dalam bidang STEM serta membina asas kepada bakat kejuruteraan dan teknologi pada masa depan.
Selain itu, pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) turut dipertimbangkan bagi meningkatkan keselamatan sekolah, terutama membabitkan isu vandalisme dan penjagaan aset pendidikan.
Dalam pada itu, Dr. Sim menegaskan Sarawak terpaksa bertindak lebih agresif kerana peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada sekolah di negeri ini jauh lebih kecil berbanding Semenanjung.
“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM452 juta kepada sekolah di Semenanjung, tetapi hanya RM40 juta kepada Sarawak. Atas sebab itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif demi masa depan anak-anak kita,” tegasnya.
Beliau berkata pelaksanaan Fasa Kedua akan bermula awal 2026 dengan skala peruntukan hampir sama, memastikan semua SJKC Bantuan yang memerlukan dapat menikmati kemudahan pembelajaran digital sepenuhnya.
Oleh Shikin Mahmud