Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Pakar kesihatan gesa tindakan tangani obesiti sebagai penyakit
  • KESIHATAN

Pakar kesihatan gesa tindakan tangani obesiti sebagai penyakit

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGERUSI Sidang Kemuncak Kardiometabolik APAC, Perunding Kanan Endokrinologi merangkap Ketua Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Universiti Malaya Prof Lim Lee Ling (tengah) bergambar bersama Felo Nasional SCOPE Persekutuan Obesiti Dunia (Australia) Dr Georgia Rigas (kiri) dan Profesor Emeritus Perubatan dari University of Alberta, Kanada Prof Arya Sharma selepas hadir pada Sidang Kemuncak Kardiometabolik APAC 2025 di Sheraton Imperial Kuala Lumpur di sini. Sidang kemuncak anjuran Novo Nordisk itu menghimpunkan pakar utama global dan serantau bagi mengetengahkan keperluan mendesak terhadap pendekatan bersepadu serta berpusatkan individu dalam aspek obesiti, kardiovaskular, buah pinggang dan kesihatan metabolik. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Obesiti adalah penyakit yang perlu ditangani dan bukan sekadar disembuhkan, menurut pakar kesihatan.

Pengerusi Sidang Kemuncak Kardiometabolik APAC, Perunding Kanan Endokrinologi merangkap Ketua Jabatan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Universiti Malaya Prof Lim Lee Ling berkata obesiti adalah penyakit kronik yang memerlukan perhatian segera dan tidak wajar dilihat hanya sebagai pilihan gaya hidup.

Beliau berkata persekitaran di sekeliling memainkan peranan penting dalam menggalakkan individu yang hidup dengan obesiti mendapatkan rawatan kesihatan yang sesuai.

“Untuk menggalakkan seseorang yang hidup dengan obesiti mendapatkan konsultasi perubatan, persekitaran perlu menyokong mereka. Semua orang perlu memahami bahawa obesiti adalah penyakit, bukan sekadar keadaan berkaitan gaya hidup.

“Ia melangkaui ukuran berat badan atau indeks jisim badan. Kita bercakap tentang pengagihan lemak, sesuatu yang tidak dapat dinilai tanpa penilaian komposisi badan yang betul,” katanya semasa Sidang Kemuncak Kardiometabolik APAC 2025 di Sheraton Imperial Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir Profesor Emeritus Perubatan dari University of Alberta, Kanada Prof Arya Sharma dan Felo Nasional SCOPE Persekutuan Obesiti Dunia (Australia) Dr Georgia Rigas.

Sidang kemuncak anjuran Novo Nordisk itu menghimpunkan pakar utama global dan serantau bagi mengetengahkan keperluan mendesak terhadap pendekatan bersepadu serta berpusatkan individu dalam aspek obesiti, kardiovaskular, buah pinggang dan kesihatan metabolik.

Lim berkata kerajaan telah mengeluarkan mandat yang jelas kepada pengamal klinikal, bukan klinikal serta orang awam untuk secara aktif menangani isu berat badan berlebihan dan obesiti bagi meningkatkan hasil kesihatan negara.

“Semua inisiatif ini, termasuk persekitaran hidup lebih sihat dan pelabelan nutrisi makanan sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Masih terlalu awal untuk menilai impaknya secara menyeluruh kerana rangka kerja penilaiannya masih dibangunkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai transformasi dalam sistem penjagaan kesihatan tempatan, Lim menekankan kepentingan menangani stigma berkaitan berat badan dalam kehidupan peribadi dan profesional.

“Obesiti ialah satu keadaan kompleks dan kronik yang memerlukan empati, kefahaman serta sokongan berasaskan bukti. Mewujudkan persekitaran tanpa prejudis, sama ada di klinik, tempat kerja atau di rumah, adalah penting untuk membantu individu mendapatkan rawatan dengan yakin,” katanya.

Sementara itu, Arya menyifatkan obesiti sebagai keadaan sepanjang hayat bagi kebanyakan individu.

“Seperti penyakit kronik lain, obesiti tidak dapat disembuhkan tetapi perlu ditangani. Apabila seseorang mengalami penyakit ini, mereka cenderung hidup dengannya. Mengurus obesiti sama seperti mengurus penyakit kronik seperti penyakit jantung atau diabetes,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa doktor seharusnya menjadi pihak pertama yang dirujuk oleh sesiapa sahaja yang hidup dengan obesiti atau bimbang tentang berat badan mereka, bukan yang terakhir.

“Tanggapan itu tidak meluas dalam kalangan orang awam. Nasihat lazim biasanya adalah untuk lebih bersenam atau makan kurang, bukannya berjumpa doktor. Hakikatnya, langkah pertama bagi sesiapa yang bimbang tentang berat badan mereka ialah bertemu doktor.

“Kita memerlukan kedua-duanya, pesakit yang mengiktiraf obesiti sebagai penyakit dan memahami keperluan mendapatkan nasihat doktor serta doktor yang terlatih agar apabila pesakit tampil dengan kebimbangan berkaitan berat badan, mereka tahu cara menanganinya,” tambahnya.

Dr Georgia menegaskan bahawa pendidikan amat penting, dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran profesional kesihatan dan memperkukuh latihan, khususnya melalui inisiatif seperti Sidang Kemuncak Kardiometabolik APAC 2025.- Bernama

Continue Reading

Previous: KKM kaji pindaan akta untuk perluas kawal selia caj hospital swasta
Next: Hospital Serian terima mesin baharu perkukuh saringan pendengaran bayi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.