
HAKIKATNYA, kenyataan tegas oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bahawa partinya akan menilai semula peranan dalam kerajaan jika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang, menjadi satu titik penting dalam landskap politik Malaysia.
Situasi ini mencerminkan ketegangan yang semakin meruncing dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya antara DAP dan kepimpinan Kerajaan Pusat.
Kenyataan ini membuka ruang kepada analisis kritikal terhadap masa depan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan, dengan meneliti punca-punca, implikasi, hala tuju dan prospek masa depannya.
Punca-punca ketegangan politik
Punca utama kepada ketegangan ini ialah kegagalan melaksanakan reformasi yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya, terutamanya yang melibatkan isu seperti pembaharuan institusi, keadilan sosial, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), serta pengukuhan integriti tadbir urus kerajaan.
DAP, yang selama ini dilihat sebagai parti progresif dan reformis, kini menghadapi tekanan daripada penyokong akar umbi dan masyarakat Cina akibat kelemahan dalam menunjukkan hasil konkrit selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Kekalahan teruk DAP dalam pilihan raya negeri Sabah pada 29 November 2025 menjadi titik mula yang mencetuskan reaksi drastik.
Kekalahan di semua lapan kerusi yang ditandingi bukan sahaja menandakan kegagalan strategi pilihan raya, tetapi juga mencerminkan kemerosotan keyakinan pengundi terhadap kredibiliti DAP sebagai pembela suara reformasi.
Dalam konteks ini, DAP dilihat tidak lagi menjadi kuasa semak dan imbang yang efektif dalam kerajaan.
Selain itu, ketidakseimbangan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan , iaitu banyak keputusan besar perlu mengambil kira sensitiviti parti-parti lain seperti UMNO, GPS, dan GRS menjadikan reformasi sukar dilaksanakan sepenuhnya.
DAP terperangkap antara realiti politik gabungan yang rapuh dan janji-janji besar yang mereka bawa kepada rakyat.
Implikasi terhadap Kerajaan Perpaduan
Kenyataan Anthony Loke bahawa DAP tidak akan menarik balik sokongan terhadap kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang memberi sedikit jaminan kepada kestabilan politik semasa.
Namun, isyarat bahawa DAP mungkin keluar dari kabinet dan hanya menjadi penyokong kerajaan menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan pentadbiran Anwar.
Jika DAP mengambil langkah tersebut, terdapat empat implikasi besar boleh dijangkakan. Yang pertama risiko kehilangan keyakinan awam, apabila berlakunya perubahan peranan DAP dalam kerajaan boleh mencetuskan persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan tidak stabil dan tidak sepakat dalam hala tuju dasar.
Perkara ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur, rakyat, dan masyarakat antarabangsa terhadap pentadbiran Anwar.

Yang kedua, akan berlaku kekurangan kepimpinan reformis, apabila ketiadaan DAP dalam kabinet akan menyebabkan kehilangan suara reformasi dalam kerajaan dan ini akan melemahkan agenda pembaharuan dan menjadikan kerajaan lebih bersifat konservatif, terutama apabila muncul parti yang lebih cenderung kepada status quo.
Yang ketiga ialah potensi konflik dalaman lebih-lebih lagi apabila langkah DAP untuk ‘menjarakkan diri’ daripada pentadbiran boleh menggalakkan ketegangan dalam kalangan komponen Kerajaan Perpaduan yang lain.
Parti-parti lain mungkin melihat tindakan DAP sebagai tidak bertanggungjawab atau sebagai ugutan politik, sekali gus boleh tercetusnya suasana memecahbelahkan kesepaduan sedia ada.
Yang keempat ialah kesan terhadap Anwar Ibrahim yang akan berada dalam dilema. Jika beliau tunduk kepada desakan DAP, beliau mungkin kehilangan sokongan parti-parti Melayu; jika beliau mengabaikan tuntutan tersebut, beliau berisiko kehilangan kepercayaan daripada DAP dan penyokong reformasi.
Inilah dilemma yang sedang dihadapi oleh Anwar dan perlu mengambil pendekatan yang seimbang, bijaksana dan tepat bagi menangani krisis ini.
Hala tuju politik dan strategi DAP
Dalam wawancara yang sama, Anthony Loke menekankan bahawa DAP bukanlah parti yang gilakan jawatan, dan bersedia berundur jika itu dapat mempercepatkan reformasi.
Bagaimanapun, kenyataan ini juga menunjukkan betapa sukarnya melaksanakan reformasi dalam konteks kerajaan campuran yang kompleks.
DAP kini perlu mengambil pendekatan strategik untuk mengekalkan pengaruhnya sambil tidak menjejaskan kestabilan kerajaan.
Antara hala tuju yang boleh diambil termasuklah menjadi pemantau dalaman, dalam kata lain, sekiranya keluar dari kabinet, DAP masih boleh memainkan peranan sebagai pemantau dalam kerajaan melalui pendekatan penyokong kerajaan yang kritikal (‘constructive critic’) dan ini memberi ruang kepada mereka untuk menekan reformasi tanpa terikat kepada disiplin jemaah menteri.
DAP boleh fokus kepada reformasi tertentu, seperti memilih beberapa agenda reformasi yang menjadi keutamaan – seperti pengiktirafan UEC atau reformasi institusi kehakiman – dan menjadikannya sebagai petunjuk pencapaian untuk tempoh enam bulan akan datang.
Peranan membina konsolidasi peringkat akar umbi perlu dilakukan dengan kerja keras untuk mendapatkan semula kepercayaan penyokong tradisinya, terutama komuniti Cina dan golongan progresif dan ini termasuk menjelaskan realiti politik semasa, serta menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan dasar-dasar yang telah dijanjikan.
Prospek masa depan
Tempoh enam bulan akan datang akan menjadi ujian paling besar kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Jika reformasi yang dijanjikan masih gagal dilaksanakan, bukan sahaja DAP yang akan menilai semula peranannya, bahkan pengundi di seluruh negara secara keseluruhan akan mempersoalkan prestasi perkhidmatan, tahap kesejahteraan negara dan kecekapan kerajaan sedia ada.
Namun, jika kerajaan berjaya memperkenalkan reformasi yang bermakna walaupun bersifat simbolik tetapi memberi impak maka ia boleh mengubah persepsi awam dan menyelamatkan kerajaan daripada gelombang penolakan pada pilihan raya umum akan datang.
Cadangan pengenalan dasar bahasa baru yang merangkumi pengiktirafan UEC misalnya, jika dilaksanakan dengan bijaksana dengan perubahan dan penyesuaian sukatan mata pelajaran, mampu mengembalikan keyakinan pengundi Cina kepada PH.
Begitu juga dengan inisiatif lain yang bersifat inklusif dan merentasi kaum, agama dan ideologi politik, boleh dijadikan asas kepada pembinaan semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Titik persimpangan politik
Kenyataan Anthony Loke bukan sekadar peringatan kepada Anwar Ibrahim, tetapi juga merupakan cerminan dilema besar yang sedang dihadapi oleh PH dan Kerajaan Perpaduan.
Ia menggambarkan konflik antara idealisme reformasi dan realiti politik campuran. DAP, sebagai antara tulang belakang utama PH, kini berada di persimpangan sama ada kekal bersama kerajaan demi kestabilan atau menjauhkan diri demi prinsip.
Masa depan PH dan Kerajaan Perpaduan sangat bergantung kepada keupayaan Anwar untuk mengemudi gabungan yang rencam ini dengan bijaksana.
Kejayaan atau kegagalan dalam tempoh enam bulan akan datang bukan sahaja akan menentukan kedudukan DAP dalam kerajaan, tetapi juga akan mencorakkan hala tuju politik Malaysia untuk dekad yang akan datang.
Reformasi tidak boleh lagi tinggal sebagai slogan. Ia mesti dijelmakan dalam bentuk tindakan dan dasar yang menyentuh kehidupan rakyat.
Jika tidak, gelombang kekecewaan akan menjadi tsunami politik yang menenggelamkan bukan sahaja DAP, tetapi seluruh Kerajaan Perpaduan.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.