
KUCHING: Polis Daerah Kuching telah membuka siasatan terhadap satu lagi kes penipuan dalam talian yang dilaporkan pada 9 Disember melibatkan seorang wanita berusia 61 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata mangsa menerima panggilan pada 3 November daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya daripada pihak kastam dan memaklumkan bahawa barangan milik mangsa bernilai RM7,000,000 telah dirampas di Kuala Lumpur.
“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai Lydia dari Bahagian Siasatan Penggubalan Wang Haram,” katanya.
Alexson berkata suspek telah meminta mangsa memindahkan wang kononnya untuk tujuan siasatan Bank Negara ke dalam tiga akaun bank berbeza melalui sembilan belas transaksi berjumlah RM 92,100.
“Mangsa hanya sedar ditipu selepas suspek meminta bayaran tambahan untuk menyelesaikan kes,” katanya sambil menambah bahawa mangsa mengalami kerugian sebanyak RM92,100.
Menurut beliau, dari 1 Januari hingga 9 Disember, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuching telah membuka 98 kertas siasatan melibatkan modus operandi yang sama, dengan jumlah kerugian sebanyak RM6,960,575.50 termasuk kes ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga sepuluh tahun, sebatan, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Alexson mengingatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan mencurigakan dan menamatkan panggilan dengan segera, serta tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pemanggil tidak dikenali.
Beliau turut menggesa orang ramai membuat semakan nombor akaun atau nombor telefon mencurigakan melalui portal Semak Mule di laman rasmi PDRM.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dibuat melalui Hotline JSJK Sarawak di talian 011 62890089 atau e mel kjsjkswk@rmp.gov.my, atau menghubungi Hotline 997 PusatRespons Scam Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi dua puluh empat jam sehari.
Oleh Connie Chieng