Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menyusuli Amai
  • WBS

Menyusuli Amai

Utusan Sarawak 4 hours ago

EMBUN dingin menitis setitik demi setitik  di dedaun meranti. Dari ruang angkasa, jelas kelihatan pohon meranti yang merimbun daunnya memayungi bumi.

Sinar mentari mengintai satu-persatu dari celah-celah reranting yang berjuntai. Suhu kedinginan tetap mendakap rasa. Pepohon ini tetap melindungi warga bumi, udara nan segar dan nyaman.

Inei terbang bersama Amai meredah kedinginan pagi dari pohon meranti ke pohon cengal. Meluncur pantas gerak-geri mereka. Dari bawah terserlah kecantikan kenyalang terbang melayang berdua-duaan.

Kehijauan bumi, langit cerah, awan bersisik dan berombak membawa kegembiraan Inei dan Amai. Amai memanggil Inei. Amai bertenggek di dahan engkalak.

“Wah. banyaknya buah di sini!” Amai gembira mendapati makanan kegemarannya dijumpai. Hari ini mereka tentu kekenyangan.

“ Kita makan di sini. Engkalak ini sudah ranum” Kata Inei. Mereka makan satu-persatu engkalak sehingga kekenyangan.

“Jangan tebuk semua buah.”

“Yang lain jangan diusik, biar itu untuk makanan penduduk di sini. Mereka juga akan jualkan engkalak. Mereka tahu harga engkalak  kini sudah meningkat di pasaran.” Ingat Amai kepada Inei. Buah eksotik itu banyak khasiat untuk kesihatan yang masih dalam kajian.

Walau kelaparan sekalipun mereka tidak akan mengusik semua tumbuhan dan buah-buahan yang tergantung di dahan.

Ciri-ciri saling memahami masih terselit dalam hati mereka. Mereka tidak perlu tamak sehingga merosakkan mata pencarian penduduk di situ. Musim ini musim engkalak. Sudah tentu banyak dijual di pasar-pasar yang ada sekitar daerah itu.

Mereka terbang lagi. Semakin tinggi sehingga menyusur ke arah anak sungai yang jernih. Percikan air jeram dan deruan air terjun  sungguh menawan.

Air yang jernih. Mereka memerhati tempat itu sunyi. Alam semula jadi yang masih belum diteroka untuk ekopelancongan. Air terjun yang meluncur deras hanya untuk kegunaan warga tempatan.

Rasa tenang terpancar dari mata mereka. Amai dan Inei sempat meneguk air jernih di kawasan anak sungai yang mengalir deras

Terlalu jauh mereka terbang. Rasa penat sukar dibayangkan. Mereka akan kembali pulang ke sarang mereka.

“Amai, kita pulang” pinta Inei. Inei nampak kelesuan. Amai akur atas permintaan Inei.

Mereka terus terbang pulang ke sarang. Kesetiaan jelas terserlah pada Amai. Lelaki spesis kami memang setia kepada pasangan mereka.

Rasa tanggungjawab dan kasih sayang memang menjadi prinsip hidup mereka. Suami tidak akan menduakan isteri untuk mencari isteri baharu.

Kasih berpanjangan selagi isteri masih hidup. Isteri pun sama. Tetap sayang, setia dan taat kepada suami.

Usai jauh mereka terbang, kini mereka kembali juga ke sarang .Tidak disangka  sekembali ke sarang rupanya Inei menghasilkan telur. Rasa ria berkotak di hati Amai.

Telur itu akan dieramkan. Amai menebuk lagi lubang sarang mereka. Dia tahu mereka perlukan  sarang yang lebih besar untuk menempatkan anak-anak mereka nanti. Telur dieramkan memakan masa lebih kurang tiga puluh lapan hari.

Masa menunggu yang terlalu lama. Amai tidak sabar Inei menetaskan telur. Tidak sabar untuk Amai menimang anak-anaknya.

Amai bergelut rasa gembira. Anak-anak ialah generasi yang menjadi kehidupan spesis ini yang akan berkekalan. Biar anak cucu peribumi kenal siapa kami.

Sudah beberapa hari Inei dan Amai duduk di dalam sarang. Amai perlu keluar. Dia tidak sanggup terperap terlalu lama di dalam sarang. Amai tetap mahu bergerak keluar. Dia perlu mendapatkan makanan untuk Inei .

“ Inei, aku mahu keluar ” Amai memberitahu Inei. Inei mengangguk.

“Jaga diri baik-baik Amai” luah Inei.

Amai terus terbang menghala ke  utara. Sekali-sekala dia menoleh ke arah Inei sambil berkicau merdu.

Sebelum panahan sang suria mencengkam, Inei mengipas sayap yang masih kebasahan dengan embun yang mendakap. Sudah tiga puluh lapan hari, Inei duduk di dalam sarang.

Anak-anak Inei tiga ekor telah muncul . Inei begitu gembira dalam duka. Sedih kerana Amai tiada di sisi. Sepatutnya Amai sudah kembali. Amai sudah tentu menghitung hari, bila anak-anaknya akan keluar.

“Ke manakah perginya Amai”

“Jauhkah terbangnya” suara hati Inei bergetar. Bimbang apa-apa akan terjadi kepada Amai.

Inei telah nekad untuk mencari Amai. Sebelum itu, dia terbang di sekitar, mencari makanan untuk  anak-anak.

Tiada lagi makanan untuk anak-anak. Mereka sudah tentu kelaparan. Usia pembesaran perlu makanan yang seimbang dan berkhasiat. Anak-anak perlu dilindungi.

Mereka masih kecil ,masih belum boleh terbang. Inei membelai-belai anaknya. Dia mengumpul biji-bijian untuk anak-anaknya sebelum dia pergi. Dia akan berjauhan dengan anak-anak dalam dua atau tiga hari.

Tidak sanggup dia berpisah jauh dan terlalu  lama dengan anak-anak mereka. Bekalan bijian ini cukup untuk anak-anak.

Dini  pagi, Inei akan terbang jauh. Inei juga bertekad mencari suami yang sudah beberapa hari tidak kembali. Amai sangat bertanggungjawab. Rasa cinta kepada isteri terlalu mendalam.

Apatah lagi Amai sangat gembira apabila dia akan bergelar bapa kepada anak-anaknya.

Rasa duka mengamit jiwa untuk kali ini kerana Inei terpaksa keluar dari sarang. Sarang yang beberapa tahun bertapak di pepohonan keruing yang besar itu.

Telah berapa lama Amai belum kembali lagi.

Rasa rindu kepada Amai segar kembali. Seringkali mereka berdua-duaan bersama sama terbang dari pohon ke pohon menghirup udara segar, mencari buah dan serangga untuk makanan mereka.

“ Maafkan Inei, Inei pergi dulu”. Inei mengusap kedua-dua anaknya. Anak-anak kecil itu meronta-ronta mendekati Inei.

Inei keluar dari lubang sarang. Dia hinggap di dahan berhampiran. Bulu kehitaman berkilauan dipanahi sinaran mentari.

Warna putih dan hitam di kepak memang merasuk setiap mata yang memandang. Belum warna paruh lagi yang kekuningan dan kemerahan. Panji Ibu pertiwiku.

Rasa gusar menguasai Inei. Dia mencari dan menyusuli Amai. Kumpulan pekerja balak masih berkumpul.

Mereka melakukan  kerja-kerja pembalakan. Mungkin mereka akan bergerak ke tempat lain. Inei berselindung di sebalik pepohon dan dedaun yang masih ada.

Inei terpandang dari jauh gelagat manusia yang menetak rimbunan hijau. Tugas mereka untuk menebang pepohon besar.

Lori balak sudah berada di jalan kecil itu. Mereka dengan rakusnya akan menebang satu-persatu pokok yang besar-besar. Habitat kami akan musnah. Bukan kami sahaja. Hidupan liar yang lain juga turut terkesan.

Harga satu pokok berapa? Sudah tentu mahal. Sebatang boleh mencecah berpuluh-puluh ribu ikut jenis kayu itu.Hasil ini, pendapatan syarikat.

Gaji pekerja-pekerja.Belum lagi  pokok-pokok ini diproses, menjadi papan dan juga dieksport keluar negara.

Sesiapa yang mendapat tender tentu sudah bergelar OKB. Orang Kaya Balak. Ada yang mendapat tender pembalakan.

Ramai juga  yang masih memiliki kawasan hutan beribu ekar. Tetapi masih belum giat melakukan aktiviti pembalakan.

Inei terbang lagi ke dahan pokok engkalak. Buah engkalak semakin masak. Bunyi kepak Inei mengibas-ngibas mengejutkan mereka.

Mereka menunjuk-nunjuk jari  ke arah Inei. Inei berdiri kaku. Inei dengan segera terbang dan menghilangkan diri.

Inei terus terbang tinggi menuju ke sebuah perkampungan. Perkampungan tradisi yang kaya dengan adat.

Tersentuh hati Inei apabila rekaan seni  bermotifkan spesis kami , terukir pada ukiran kayu di ruang dinding rumah mereka, kecantikan kepala kenyalang dengan paruh yang melengkok tajam.

Inei terkesima apabila bunyi syahdu alunan irama sape bergema. Seorang pemuda memetik gitar sape.

Anak-anak gadis yang putih melepak menghampiri anak muda itu. Perayaan Gawai tidak lama lagi. Mereka perlu berlatih untuk persembahan tari kepada tetamu semasa majlis rumah terbuka.

Inei terpesona lagi. Busana hitam dengan manik dan labuci berwana-warni dan memancar kilau sungguh indah nian.

Tradisi yang sewajarnya dibangganya. Legasi yang menjadi kesinambungan berkurun.

Ditangan gadis-gadis itu ialah kirip. Kirip merupakan aksesori di tangan untuk menari. Diperbuat daripada pelepah spesis kami.

Pelepah burung enggang. Bulu burung kenyalang. Tetapi kirip burung kenyalang itu sudah lusuh. Bererti sudah lama disimpan.

Mereka mengerakkan tangan bersama kirip tersisip di jari. Lemah gemalai gadis-gadis menghayunkan pelepah burung kenyalang dan gerak kaki dan badan mengikut alunan muzik.

Hati Inei terpaut dengan alunan muzik yang mengasyikkan. Hatinya kesal kenapa pelepah kami jadi hiasan. Berapa banyak spesis kami telah mati dibunuh?Itu dulu bukan kini.

“Kami ialah dewa mereka. Dewa yang berkuasa.”

“Kami kebanggaan etnik mereka. Mereka sayangkan kami. Cuma apabila usia kami berakhir, mereka akan mengambil hak-hak kami, paruh, pelepah untuk dijadikan harta mereka.”

Kami bersyukur negara ini, tanah air ini ada peraturan dan undang-undang. Spesis kami dilestari. Pemimpin-pemimpin pun sayang kami.

Mereka tidak mahu kami dijadikan aksesori dalam upacara. Bukan apa, jika tidak bertindak, spesis kami akan pupus.

Tiada sesiapa boleh memburu kami. Apatah lagi menyimpan kami sebagai haiwan peliharaan. Jika tiada ikhtiar, spesis kami akan pupus.

Kami sudah meredah ke sempadan antarabangsa, terlalu banyak spesis kami di sana. Hutannya masih tebal. Mereka diburu.

Amat menyedihkan .Inei pernah diingatkan  oleh Amai jangan terbang sehinggi ke sempadan luar. Kita harus lindungi diri kita daripada buruan manusia.

Rasa gusar menguasai Inei.Dia mencari dan mencari Amai. Kumpulan pekerja balak masih berkumpul. Mereka sedang menikmati sarapan.

Mereka memanggang sesuatu seperti  seekor burung. Api bara menyala. Sekelumit rasa khuatir makanan yang dipanggang itu ialah Amai.

“Tidak mungkin, itu Amai, badan Amai lebih besar, itu manok,” Inei meninjau-ninjau dari jauh. Setelah makan minum selesai pekerja-pekerja balak meneruskan melakukan kerja-kerja menebang.

Mungkin akan bergerak ke tempat lain. Inei berselindung di sebalik pepohon dan dedaun yang masih ada.

Pokok-pokok telah banyak ditebang. Satu-persatu pokok-pokok gergasi itu tumbang. Amai yang telah lama bertenggek di dahan keruing kembali ke dalam sarang.

Amai tidak sedar bahawa ia akan menjadi mangsa kerakusan manusia. Sejak pagi lagi Amai menebuk  batang pokok untuk membuat sarang. Amai keletihan sehingga terlena tidur di dalam sarang yang dihasilnya  sendiri.

Suatu hari Amai akan membawa Inei berpindah ke sini. Mereka tinggal bersama anak-anak mereka, pohon yang berlubang yang menjadi sarang mereka. Tempat persinggahan Amai dan Inei.

Pokok keruing tumbang. Amai terkejut daripada tidur. Rasa kesakitan teramat. Amai cedera. Badannya berasa longlai. Telah lama Amai di situ.

Pekerja masih leka. Mereka tidak peduli akan pokok yang tumbang itu. Mereka juga tidak tahu Amai ada di pokok itu.

Mereka membiarkan pokok itu tumbang semalaman. Pekerjaan sudah selesai. Pekerja-pekerja itu kembali pulang ke rumah inap mereka.

Senja hampir tiba. Seorang pemuda melalui jalan-jalan berkerikil kasar mendengar kicauan yang tersekat-sekat.

Waktu begini pemuda itu  sentiasa beriadah sambal menghirup udara petang. Pemuda itu menyedari kelibat seekor unggas yang memerlukan bantuan.

Amai mengesel-gesel tubuhnya perlahan-lahan untuk keluar dari sarang. Amai dalam kesakitan.

Pemuda itu menghampiri Amai. Dia membantu Amai keluar. Dia mendukung Amai. Dia membawa Amai ke tempat yang lebih selamat.

Kawasan hutan yang pokok-pokok masih belum diteroka. Tidak lama kemudian mereka mampir ke perkarangan halaman  rumah lelaki. Lelaki itu dia menyelamatkan Amai.

“Terima kasih Alai yang telah menyelamatkan Amai.”

Dia memasukkan Amai ke dalam sangkar. Alai memeriksa tubuh Amai. Dia mendapati sayap Amai telah patah. Dia mengubati Amai. Amai perlukan masa untuk sembuh.

Amai bernasib baik. Alai pemuda penyayang kepada haiwan. Alai masih belajar,jurusan zoologi. Dia tahu sedikit sebanyak mengubati Amai. Dia terpaksa mengurung Amai di dalam sangkar.

Amai sedar sekarang, dia sudah jauh daripada ahli keluarga, Inei dan anak-anak.

“Pasti Inei risau aku” Luah Amai di dalam hati.

Alai memerhati Amai. Sekali sekala dia memegang sayap Amai. Dia mengusap-usap kepala Amai.

“Kau duduk diam dulu di sini sehingga sembuh ya.” Beritahu Alai.

Alai tidak berani menyimpan lama Amai di dalam sangkar. Nanti dia akan dituduh atas kesalahan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran. Dia harus  menghubungi Jabatan Perhilitan.

    Semua spesies burung enggang ialah hidupan liar yang dilindungi mengikut    

    Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (1998).

“Sesiapa yang didapati bersalah kerana memburu, membunuh, menyimpan atau menjual hidupan liar ini dan yang terlindung sepenuhnya atau mana-mana bahagian badannya, akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Bagi hidupan liar terlindung sepenuhnya, mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda sehingga RM50,000, manakala bagi hidupan liar terlindung, pesalah boleh dikenakan penjara dua tahun dan denda RM25,000.

Alai membaca Akta hidupan liar. Dia terkedu. Dia penyelamat bukannya penjenayah.

Perjalanan Inei kurang selamat. Dia harus berhati-hati. Ingatan pada  anak-anak begitu kuat sekali. Anak-anak Inei pemangkin semangat.

Hatinya resah. Digagahi juga. Dia mesti mencari Amai.

Pokok-pokok tumbang telah diangkut  oleh lori balak. Inei bimbang hayat Amai sudah berakhir. Amai menjadi mangsa penebangan hutan.

Di ruang udara Inei terbang lagi. Dia berada di sebuah perkampungan.

Inei mengintai dari celah-celah reranting kayu. Dia terbang ke pondok kecil.

Dari jauh dia nampak kelibat burung di dalam sangkar.

“ Mungkinkah itu Amai,” bisik Inei dalam hati.

Dia menghampiri sangkar. Tiada sesiapa di situ, lelaki bernama Alai pun tiada.

“Kejamnya suamiku dikurung” Inei berada di luar sangkar. Inei mengoyang-goyang sangkar dengan kepaknya,

Amai memerhati Inei. Mereka berpatukan. Rasa gembira dan sayang bertaut

di hati Inei.

Inei bersyukur suaminya selamat.

Amai menceritakan apa yang terjadi.

“Inei, kau balik dulu, setelah sembuh aku menyusul.”

Inei ingkar. Dia tetap mahu menunggu Amai.

Inei ternampak Alai sedang membersihkan halaman rumah. Inei memanggil

Alai. Dia berkicau nyaring. Dia mematuk-matuk batang pokok untuk menarik perhatian Alai. Alai tergamam.

Alai cuba menangkap Inei. Inei cepat-cepat terbang. Inei terus terbang rendah. Alai mengejar.

Sekarang baru Alai mengerti. Mereka itu pasangan suami isteri. Alai membuka sangkar. Amai mendakap Inei dengan sayap. Sayap Amai telah sembuh.

“Cuba kamu terbang” Alai melepaskan Amai. Amai terbang rendah.DIa jatuh. Dia cuba lagi. Kali ini terbangannya berhasil. Semakin tinggi dan tinggi. Amai turun semula mendapatkan Alai dan Inei.

“Baiklah, kamu berdua boleh kembali ke tempat asal.” Kata Alai. Alai memeluk kedua-dua kenyalang itu. Rasa tidak mahu Alai melepaskan mereka pergi.

Mereka terbang pulang beriringan. Terbang yang agak rendah. Di mata mereka terbayang anak-anak mereka dalam penantian.

Amai pun tidak sabar menatap anak-anak mereka. Mereka akan singgah dulu mengutip biji-bijian, buah-buahan untuk dibawa pulang.

Oleh Nor Aini Mohd Hol

Continue Reading

Previous: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.