
BAU: Projek Kompleks Imigresen Serikin bernilai kira-kira RM44 juta bakal menjadi mercu tanda baharu Daerah Bau apabila pembinaannya dimulakan hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek itu hari ini menegaskan bahawa pembinaan pos dan kuarters imigresen tersebut bukan sahaja penting dari aspek keselamatan sempadan tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi di kawasan Serikin.
“Projek Imigresen Serikin bukan sekadar usaha memperkukuh kawalan sempadan. Ia turut menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi rentas sempadan antara Kalimantan dan Sarawak,” katanya melalui sebuah kenyataan media, hari ini.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan projek, termasuk penyelarasan antara semua agensi terlibat bagi memastikan kerja pembinaan berjalan mengikut jadual dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Skop pembinaan merangkumi sebuah bangunan utama yang menempatkan pos pemeriksaan serta pejabat, surau, kantin dan empat unit kuarters dua tingkat untuk kakitangan penguat kuasa yang bertugas.
Kerja penyediaan infrastruktur sokongan seperti jalan berturap, tempat letak kereta, sistem perparitan konkrit dan kolam takungan turut diberi keutamaan.
Kompleks baharu ini direka sebagai pusat sehenti yang akan menempatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurut Datuk Henry, kemudahan moden di kompleks itu dijangka meningkatkan kecekapan pergerakan keluar masuk serta memberi keselesaan kepada pengguna sempadan.
Beliau turut menjelaskan bahawa perjalanan dari Pontianak ke Kuching yang lazimnya mengambil masa sekitar enam jam dijangka menjadi lebih singkat setelah kemudahan baharu tersebut beroperasi.
“Ini adalah pelaburan jangka panjang demi kemakmuran rakyat. Apabila infrastruktur dan kemudahan sempadan dipertingkat, ia akan menarik lebih banyak aktiviti perdagangan, pelancongan dan pertukaran komoditi.
“Ini secara langsung akan merancakkan ekonomi tempatan di Bau dan kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua isu di tapak perlu diselesaikan secara proaktif agar tidak menjejaskan kelancaran projek.
Turut hadir Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayo, Setiausaha Majlis Daerah Bau, Ong Chin Ping, Pemanca Masyarakat Bidayuh, Robert Tom Juin, ketua jabatan serta wakil masyarakat setempat.