
BANGKOK: Thailand melancarkan serangan udara ke atas jiran mereka, Kemboja hari ini dengan kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain berhubung pergaduhan semula di sempadan yang dipertikaikan. Konflik itu telah mengakibatkan empat orang awam Kemboja maut dan seorang tentera Thailand terkorban.
Menurut Kawasan Tentera Kedua Thailand, kira-kira 35,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sempadan. Pertempuran lima hari pada musim panas lalu telah meragut 43 nyawa dan memindahkan sekitar 300,000 orang di kedua-dua belah sempadan sebelum gencatan senjata dilaksanakan.
Namun, bulan lalu Thailand menangguhkan perjanjian lanjutan yang disokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selepas letupan peluru berpandu di sempadan menyebabkan beberapa tentera cedera. Sejak itu, pegawai Thailand dan Kemboja melaporkan beberapa pertempuran kecil yang berterusan, yang kembali meletus bermula semalam sehingga hari ini.
Menteri Maklumat Kemboja, Neth Pheaktra, berkata sekurang-kurangnya empat orang awam Kemboja maut akibat tembakan meriam Thailand di wilayah sempadan Preah Vihear dan Oddar Meanchey pada Isnin. Sekitar 10 orang lain cedera, termasuk seorang wartawan yang terkena serpihan roket Thailand.
Tentera Thailand pula mengesahkan seorang tentera maut dan 18 cedera sejak pertempuran terbaru bermula Ahad. Penduduk di Surin, Thailand, terpaksa melarikan diri ke tempat perlindungan selepas kediaman mereka terjejas.

Di sempadan Kemboja, penduduk di kampung Prey Chan, Banteay Meanchey, melaporkan kemasukan pasukan Thailand dengan kereta kebal beberapa minit selepas mereka melarikan diri. Kawasan itu sebelum ini menjadi lokasi tunjuk perasaan yang berakhir dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah pada bulan September. Kedua-dua negara mendakwa kawasan itu sebagai milik masing-masing.
Neth Pheaktra berkata 1,157 keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat di Oddar Meanchey sahaja. Konflik ini berpunca daripada pertikaian sempadan berusia lebih seabad yang ditetapkan semasa penjajahan Perancis, dengan kedua-dua pihak menuntut beberapa kuil sempadan sebagai milik mereka.
Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree, berkata serangan udara itu dilakukan sebagai langkah mempertahankan diri, dan disasarkan hanya ke sasaran ketenteraan Kemboja. Namun, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, menuduh Thailand menyerang tentera mereka di Preah Vihear dan Oddar Meanchey dengan kereta kebal dan jet F-16, serta memperluas pertempuran sepanjang sempadan. Kemboja menegaskan tidak membalas serangan itu.
Tentera Thailand pula mendakwa tentera Kemboja menembak roket BM-21 ke arah kawasan awam di Buriram, namun tiada kemalangan dilaporkan.
-AFP