Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak sasar 500,000 tenaga mahir menjelang 2030
  • PENDIDIKAN

Sarawak sasar 500,000 tenaga mahir menjelang 2030

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Francis Harden Hollis mewakili Dato Sri Roland Sagah Wee Inn  merasmikan Rangkaian Sinergi@Miri: Industri Akademia Sinergi 2025 bertemakan ‘Memajukan TVET Untuk Minyak dan Gas serta Pertanian Pintar Dalam Ekonomi Digital Sarawak’, hari ini. Foto ADUN Simanggang

MIRI: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha membangunkan tenaga mahir melalui kerjasama strategik antara pihak industri dan institusi pendidikan, selaras dengan agenda memperkukuh ekonomi digital Sarawak serta memenuhi sasaran melahirkan 500,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program Rangkaian Sinergi@Miri berperanan sebagai platform penting menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri, pemimpin akademik serta penyedia latihan bagi merangka pelan kolaboratif yang lebih mampan.

Melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, beliau menekankan bahawa program itu dirancang khusus sebagai pemangkin kepada pertukaran kepakaran, integrasi ilmu, serta kerjasama strategik yang mampu menghasilkan inisiatif nyata mulai Januari 2026.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Rangkaian Sinergi@Miri: Industri Akademia Sinergi 2025 bertemakan ‘Memajukan TVET Untuk Minyak dan Gas serta Pertanian Pintar Dalam Ekonomi Digital Sarawak’, hari ini. 

Jelasnya, usaha tersebut selari dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang kini memasuki fasa penting bagi memastikan semua sasaran ekonomi dapat dicapai.

Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan besar kepada pembangunan modal insan, katanya, menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memastikan Sarawak memiliki tenaga kerja teknikal yang cekap, lincah dan inovatif bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

Menurut beliau, Tinjauan Pasaran Buruh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan permintaan tinggi terhadap tenaga mahir melibatkan lebih 20,600 jawatan profesional, pengurusan dan teknikal daripada jumlah keseluruhan 88,348 kekosongan kerja, justeru memberi isyarat jelas bahawa Sarawak perlu bergerak lebih pantas dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

Mengulas program yang sedang dilaksanakan, Sagah berkata Kementerian kini giat menghubungkan keperluan industri dengan kemahiran rakyat melalui program terarah seperti program Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) yang dijalankan bersama Chemsain Konsultant Sdn Bhd. Setakat ini, 78 peserta telah dilatih dengan tambahan 77 lagi menjelang akhir tahun.

Selain itu, Program Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK) turut memanfaatkan seramai 104 kaunselor sekolah bagi memastikan hala tuju kerjaya pelajar lebih sejajar dengan keperluan sebenar industri dan laluan kemahiran masa depan. Ini sekali gus membantu pelajar membuat pilihan tepat dalam sektor strategik ekonomi negeri.

Bagi sektor pertanian, program biasiswa di bawah Pusat Latihan Beras MADA (MRTC) melibatkan latihan berkaitan Agri-Tech dan pertanian pintar bakal membuka lembaran baharu pembangunan tenaga kerja moden dalam industri padi Sarawak. 

Seramai 25 belia akan memulakan pengajian pada Januari 2026 melalui sokongan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) dan Sarawak Skills.

Sarawak turut bersiap sedia menjadi hab bakat teknologi tinggi apabila bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) pada 27 hingga 29 Januari 2026, acara bertaraf antarabangsa yang dijangka memperluas peluang baharu dalam industri aeroangkasa.

Sagah turut merakamkan penghargaan kepada kementerian dan agensi rakan strategik termasuk M-FICORD, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK).

Selain itu Kolej Universiti i-CAT, Sarawak Skills, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), HRD Corp, Petronas, Petros, MPC Sarawak, Perkeso serta Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Sarawak atas peranan besar mereka dalam memperkasakan pembangunan bakat negeri.

Sagah menegaskan bahawa Sarawak memiliki sumber asli dan rakan strategik yang kukuh, namun kejayaan pembangunan negeri bergantung kepada keupayaan menyediakan tenaga kerja mahir yang mampu membuka sepenuhnya potensi ekonomi sedia ada.

Oleh Adi Safarman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Program PKJR di sekolah sasar kurangkan nahas jalan raya
Next: SK Saint Peter Saratok raih kejayaan sepanjang satu abad penubuhan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.