Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Hampir 1,000 orang maut, sejuta hilang tempat tinggal akibat banjir di Indonesia
  • SEMASA

Hampir 1,000 orang maut, sejuta hilang tempat tinggal akibat banjir di Indonesia

Utusan Sarawak 6 hours ago
BANJIR… Seorang wanita yang dipenuhi lumpur berdiri di jalan yang turut dipenuhi lumpur selepas banjir kilat melanda Aceh Tamiang, Aceh, baru-baru ini. Foto AFP

JAKARTA: Hampir 1,000 orang terkorban dan hampir satu juta lagi terpaksa meninggalkan rumah selepas beberapa minggu banjir dan tanah runtuh melanda Sumatera Utara, menurut angka yang dikeluarkan hari ini oleh agensi bencana Indonesia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) melaporkan 961 kematian, 234 orang hilang dan kira-kira 5,000 cedera di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat setakat Khamis.

Agensi itu turut merekodkan kerosakan ke atas lebih 156,000 rumah. Sebanyak 52 daerah dan bandar masih terjejas teruk.

Ketua BNPB, Suharyanto, memaklumkan kepada Presiden Prabowo Subianto pada malam Ahad bahawa 975,075 orang telah berlindung di pusat pemindahan sementara di tiga wilayah berkenaan.

BANJIR… Seorang wanita menjemur pakaian yang baru dibasuh di tengah keadaan buruk akibat banjir kilat yang melanda Aceh Tamiang, Aceh baru-baru ini. Foto AFP

Aceh merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 900,000 penduduk dipindahkan, menurut BNPB.

Paras banjir mula surut di beberapa daerah pesisir pantai, walaupun kawasan luas di banjaran tengah masih terputus hubungan, kata BNPB.

Presiden Prabowo melawat kawasan terjejas banjir di Aceh pada Ahad. Beliau kemudian mempengerusikan mesyuarat kecemasan yang dihadiri menteri Kabinet, panglima tentera dan pegawai wilayah.

Musim hujan Indonesia, yang biasanya memuncak antara November dan April, sering membawa banjir besar.

BANJIR… Penduduk yang terjejas akibat banjir kilat berjalan di jalan berlumpur, dengan bangkai seekor lembu (kiri) kelihatan di tepi jalan di Aceh Tamiang, Aceh baru-baru ini. Foto AFP

Kumpulan alam sekitar dan pakar bencana telah lama memberi amaran bahawa pembalakan berlebihan, pembangunan tidak terkawal dan lembangan sungai yang semakin terjejas telah meningkatkan risiko terhadap komuniti di Sumatera.

Hujan lebat tambahan diramal di beberapa bahagian pulau itu dalam beberapa hari akan datang, menimbulkan kebimbangan terhadap keluarga yang terpaksa berpindah.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Persidangan Belanjawan Sarawak 2026, tumpu dasar fiskal dan keutamaan ekonomi
Next: Banjir di Indonesia dan Sri Lanka: Ratusan maut, kekurangan makanan, perubatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.