
KUCHING: Golongan belia disifatkan sebagai nadi pembangunan negeri dan pemegang obor masa depan yang bakal menentukan arah kemajuan Sarawak.
Timbalan Pengerusi Yayasan Perpaduan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata Projek SUARA 2.0 merupakan platform bermakna untuk belia Sarawak belajar, berfikir dan membincangkan isu-isu utama sambil menilai dasar kerajaan secara lebih dekat.
Katanya, dasar kerajaan hanya akan benar-benar berkesan apabila difahami dan disokong sepenuhnya oleh rakyat terutama golongan muda.
“Apabila belia menghargai, menyokong dan bekerjasama dengan inisiatif kerajaan, kita menjadi rakan dalam membentuk negeri yang menikmati pembangunan berterusan dan kemajuan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek SUARA 2.0 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan penyertaan aktif belia tidak seharusnya terbatas kepada pematuhan semata-mata.
Sebaliknya, Projek SUARA 2.0 membuka ruang kepada dialog, pertukaran pandangan dan simulasi praktikal yang membolehkan mereka memberi maklum balas konstruktif serta menyumbang idea baharu.
Dr George yakin kemampuan belia untuk bekerjasama dengan kerajaan mampu memastikan dasar negeri dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, kerjasama itu berasaskan dialog, pemahaman dan rasa hormat yang mampu merapatkan jurang antara komuniti serta menggalakkan penyertaan inklusif.
Melalui usaha bersama itu, beliau percaya impak dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada perubahan yang ketara, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Anda berpeluang membantu mewujudkan persekitaran yang harmoni dan kondusif, satu keadaan di mana komuniti terus berkembang dan peluang semakin meluas,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa golongan belia untuk mengambil tanggungjawab sebagai agen penyatuan dengan terus belajar, terlibat, menyumbang dan memimpin melalui teladan.
“Bersama kerajaan, kita boleh membina Sarawak yang berdaya tahan, berpandangan jauh dan harmoni, tempat dengan peluang yang melimpah dan ruang untuk setiap individu berkembang,” katanya sambil berharap para peserta mendapat manfaat penuh daripada sesi tersebut.
Oleh Adele Rissa