
KUCHING: Festival Tekstil Antarabangsa Borneo (BiTF) 2025 membuka tirainya dengan penuh gemilang, diserikan lagi dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata festival tersebut menzahirkan komitmen bersama dalam mengangkat budaya, kreativiti dan warisan tekstil Borneo ke persada antarabangsa.
Beliau berkata, sejak menerima pengiktirafan sebagai Bandar Kraf Dunia oleh Majlis Kraf Dunia pada 2019, bandar raya ini terus muncul sebagai tumpuan seni kraf dan tradisi, seiring tema BiTF 2025, ‘Menenun Masa Depan: Menghubungkan Budaya, Komuniti & Industri Kreatif.’

Menurutnya, transformasi dunia tekstil sejak Simposium Tekstil Borneo 2022 membuktikan bahawa tekstil bukan lagi sekadar kajian akademik atau kraf terhad kelompok tertentu, sebaliknya kini menjadi manifestasi identiti etnik yang terus berkembang dengan inovasi, kemampanan dan nilai global.
Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Tengku Ampuan Pahang selaku Penaung Diraja BiTF, yang disifatkannya telah mengangkat Tenun Pahang ke pentas antarabangsa sebagai simbol martabat, ketahanan dan harapan.
Beliau berkata program utama festival yang berlangsung bermula esok merangkumi ucaptama diraja, seminar, kelas kemahiran, pameran kraf dan demonstrasi menganyam yang akan memperkukuh jaringan ilmu dan kolaborasi di seluruh kepulauan Borneo.

Seiring persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, beliau optimis ketibaan pelawat ke Sarawak akan terus meningkat hasil strategi pemasaran lebih meluas, penyertaan dalam acara pelancongan antarabangsa, pakej pelancongan kreatif, kepelbagaian produk serta penambahbaikan konektiviti udara.
Mengulas hala tuju industri kreatif, beliau menegaskan bahawa di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), industri kreatif menjadi pemacu ekonomi baharu.
Jelasnya, kraf seperti pua kumbu dan keringkam kini berpotensi besar sebagai eksport budaya dengan sokongan logistik dan digital, membolehkan penggiat kraf tempatan menembusi pasaran dunia.
Beliau berkata cabaran masa depan ialah mengarusperdanakan Fesyen Regeneratif dengan mengolah semula songket lusuh dan pua kumbu lama menjadi aksesori moden yang dekat dengan citarasa generasi muda, sambil kekal berteraskan akar budaya Sarawak.
Dato Sri Abdul Karim merakamkan penghargaan kepada semua rakan pelaksana termasuk Jawatankuasa BiTF, Unimas, penaja dan rakan strategik atas usaha memelihara warisan tekstil.
“Semoga ritma tenunan ini terus mengangkat tradisi tempatan ke pentas global, dan setiap helai yang dihasilkan membawa rasa bangga dan kepemilikan bersama,” ujarnya.
Oleh Shikin Mahmud & Adele Rissa