
KUCHING: Wanita warga emas berusia 69 tahun yang tular selepas ditemui merangkak meminta pertolongan di Kota Samarahan sebenarnya telah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sejak Februari 2024.
Bantuan tersebut disalurkan menerusi Bantuan Penjagaan Pesakit OKU/Kronik Terlantar dengan jumlah sebanyak RM500 sebulan.
Menteri Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata bantuan itu disalurkan atas nama penjaganya, Mahmud Keri, manakala anak wanita berkenaan yang merupakan OKU mental turut pernah menerima bantuan bulanan JKM sejak 2010.
“Sebelum ini, hal ehwal keluarga tersebut diuruskan oleh arwah suaminya. Selepas beliau meninggal dunia, penjagaan terhadap wanita itu dan anaknya dibantu oleh ketua kampung,” katanya ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau berkata sebaik sahaja Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Samarahan menerima maklumat mengenai keadaan keluarga itu baru-baru ini, pegawai JKM segera turun padang untuk memastikan mereka menerima perlindungan yang sewajarnya.
Menurutnya, wanita tersebut telah ditempatkan secara sementara di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching pada 5 Disember 2025 untuk pemeriksaan kesihatan dan tindakan lanjut termasuk proses permohonan penempatan tetap secara sukarela di institusi berkenaan.
Sementara itu, berdasarkan kejadian yang tular sebelum ini, wanita berkenaan, Jariyah Suut, yang cacat penglihatan sebahagian, merangkak keluar ke tepi jalan pada 4 Disember lalu untuk meminta pertolongan selepas beberapa hari berada bersama mayat anak perempuannya berusia 48 tahun yang telah mereput.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Supt Damataries Lautin, berkata si mati mengadu sakit dada dan sukar bernafas pada 30 November lalu sebelum tidak lagi memberi respon.
Katanya, si ibu tidak dapat mendapatkan bantuan lebih awal disebabkan keadaannya yang kurang upaya dan hanya keluar apabila bau semakin kuat.
Mayat ditemui di sebuah pondok di Jalan Kampung Telok Sabang, kira-kira 150 meter dari jalan utama dan hanya boleh diakses melalui laluan sempit. Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian sebagai aterosklerosis koronari, iaitu serangan jantung akibat saluran darah utama jantung tersumbat sepenuhnya.
Oleh Shahrul Qaizat