
BEKENU: Projek Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di Bekenu perlu dinilai secara terperinci mengikut keperluan setiap pemohon, memandangkan tahap kerosakan rumah adalah berbeza dan memerlukan kos pembaikan yang tidak sama.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata pendekatan baharu digunakan kali ini dengan memanggil wakil setiap rumah bagi memastikan mereka memahami skop kerja pembaikan yang akan dilaksanakan.
“Kita panggil semua supaya mereka faham bentuk pembaikan yang akan dibuat. Penilaian sudah dilakukan, ada rumah yang perlu ganti atap, ada yang perlu baiki dapur, lantai, dinding atau bilik air. Semuanya berbeza mengikut keperluan sebenar,” katanya pada Taklimat Khas Projek PPRMS N.71 Bekenu di Pusat Khidmat Wakil Rakyat N.71 Bekenu semalam.
Rosey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, menjelaskan bahawa senarai keperluan telah disediakan bagi setiap rumah yang memohon, termasuk kerosakan seperti atap bocor, dinding uzur, lantai berlubang dan bilik yang tidak selamat digunakan.
“Proses penilaian dilaksanakan secara telus bersama ketua kaum dan jawatankuasa kampung, menjadikan pihak kampung lebih memahami prosedur penilaian tersebut.
“Sebelum ini, peruntukan pembaikan rumah dikeluarkan setiap setengah tahun dengan jumlah sekitar RM500,000. Namun kali ini, senarai baharu disusun bagi memastikan bantuan diagihkan secara lebih tepat dan menyeluruh,” jelasnya.
Pada majlis sama, seramai 55 penerima manfaat daripada 15 kampung di Bekenu menerima cek bantuan berjumlah keseluruhan RM465,000 untuk melaksanakan projek pembaikan melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) masing-masing.
Oleh Adum Liu