PORTLAND: Asap tebal menyelubungi pantai barat Amerika Syarikat (AS) berikutan kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas hampir 2,023 hektar dan mengorbankan 27 orang, semalam ketika pencabar jawatan presiden, Joe Biden memberi amaran bahawa perubahan iklim kini menjadi isu eksistensial.
Pegawai AS meramalkan kemungkinan jumlah korban lebih ramai, ketika banyak tanah di California, Oregon dan Washington masih dilitupi api yang berpunca daripada keadaan cuaca yang kering akibat perubahan iklim.
Kebakaran besar yang tidak terkawal, yang belum pernah terjadi sebelum ini, kini memusnahkan kawasan seluas kira-kira saiz New Jersey.
“Sains itu jelas, dan petanda maut seperti ini tidak dapat disangkal, perubahan iklim menimbulkan ancaman segera dan eksistensial kepada cara hidup kita,” kata Biden, calon Demokrat yang akan bertemu dengan Presiden, Donald Trump pada pengundian 3 November depan.
“Trump boleh cuba menafikannya namun realitinya, fakta itu tidak dapat disangkal,” katanya.
Pertikaian politik itu timbul ketika Trump bersedia untuk berkunjung ke California bagi taklimat mengenai kebakaran hutan itu.
Memburukkan lagi bencana alam sekitar itu, kelima-lima bandar yang udaranya paling tercemar di dunia, semalam adalah di Pantai Barat, demikian menurut IQAir, dengan asap dan abu tebal melitupi ruang udara dari Los Angeles hingga ke Vancouver di Kanada.
Di Portland, asap yang tebal dan menyesakkan menyelubungi kawasan pusat bandar pagi semalam.
“Ia seolah-olah saya sudah menghisap 100 batang rokok. Saya tidak pernah melihat situasi ini namun cuba kekal positif kerana keadaan semakin baik,” kata seorang lelaki berusia 37 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Jessie.
Lebih 20,000 anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran itu, dengan pegawai memberi amaran yang situasi terkawal disebabkan kedatangan cuaca sejuk akan berakhir pada Isnin ini dengan kedatangan semula cuaca yang lebih panas dan kering.- AFP