Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak perkukuh status antarabangsa, BCM lancar pameran ‘Helios: The Sun’
  • TEMPATAN

Sarawak perkukuh status antarabangsa, BCM lancar pameran ‘Helios: The Sun’

Utusan Sarawak 8 hours ago
UCAPAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berucap pada majlis pelancaran pameran sementara ‘Helios: The Sun’ di BCM, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pameran bertaraf antarabangsa apabila Muzium Budaya Borneo (BCM) hari ini melancarkan pameran sementara terbaharunya, ‘Helios: The Sun’, yang menampilkan karya monumental artis United Kingdom, Luke Jerram.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pameran itu menjadi platform penting untuk memperkukuh penghargaan masyarakat terhadap ilmu sains dan seni, sekali gus membuka ruang pembelajaran yang lebih meluas kepada pengunjung pelbagai peringkat usia.

“Helios dibawa ke Sarawak untuk mendalami apresiasi terhadap sains, seni dan peranan penting matahari dalam menyokong kehidupan di bumi,” katanya pada majlis pelancaran pameran Helios: The Sun, hari ini. 

Pameran tersebut akan berlangsung selama lapan bulan bermula 17 November 2025 hingga 17 Julai 2026.

‘HELIOS: The Sun’, arca sfera gergasi yang diterangi dari dalam serta dibalut dengan imejan resolusi tinggi permukaan matahari. Foto Adele Rissa 

Pameran itu menampilkan arca sfera gergasi yang diterangi dari dalam serta dibalut dengan imejan resolusi tinggi permukaan matahari. 

Ia menawarkan pengalaman yang realistik dan imersif, membolehkan pengunjung melihat ciri-ciri matahari secara lebih dekat dalam keadaan selamat, termasuk butiran halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata BCM terus menjadi tarikan utama di Kuching dengan mencatat 265,803 pengunjung sehingga November tahun ini dan 1.5 juta pengunjung sejak dibuka pada Mac 2022. 

Beliau memuji usaha Jabatan Muzium Sarawak kerana berjaya menarik minat pelajar dan komuniti melalui pelbagai program penglibatan, termasuk 29 program sekolah dan komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 peserta sepanjang tahun ini.

Menurutnya, pameran Helios turut menandakan pencapaian penting bagi jabatan tersebut yang berjaya membawa tiga instalasi seni cakerawala ke Sarawak sejak tiga tahun lalu, iaitu ‘Museum of the Moon’ pada 2023, ‘Gaia: The Earth’ pada 2024, dan kini ‘Helios: The Sun’ pada 2025.

“Pameran antarabangsa seperti ini bukan sahaja memperkaya sektor muzium, malah membantu mempromosikan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan serta pelancongan berasaskan pengalaman,” tambahnya.

Beliau turut menggesa masyarakat untuk tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran tersebut bagi merasai sendiri keindahan dan keunikan instalasi berkenaan, sekali gus memupuk minat terhadap astronomi, seni serta pemeliharaan alam sekitar.

Dengan pelancaran Helios, BCM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam membawa pameran berimpak tinggi ke Sarawak, seiring aspirasi negeri untuk muncul sebagai pusat pameran dan seni bertaraf dunia.

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Banjir diramal melanda beberapa kawasan di Sarawak pada 7 hingga 9 Disember ini
Next: JKM jaga kebajikan OKU warga emas selepas anak ditemui meninggal dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.