
SANTUBONG: Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 kembali berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dengan mengetengahkan keunikan makanan tradisional pelbagai etnik negeri ini, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi gastronomi utama negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata penganjuran edisi kedua di lokasi sama itu bukan sahaja menonjolkan identiti kulinari Sarawak, malah memberi peluang kepada orang ramai mengenali Kampung Budaya Sarawak sebagai ‘mini Sarawak’ yang menampilkan rumah-rumah tradisional kaum utama negeri ini.
Menurutnya, festival tahun ini menyaksikan sambutan luar biasa dengan lebih 5,000 pelajar hadir pada hari pertama, manakala jumlah keseluruhan pengunjung disasarkan mencecah 14,000 orang sepanjang dua hari penganjuran.

“Para pelajar diberikan kemasukan percuma dan sejak 7.00 pagi tadi mereka sudah tiba di sini. Bas turut disediakan di kawasan luar, selain ruang parkir khas bagi memudahkan pergerakan mereka,” katanya ketika menghadiri program Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025.
Beliau berkata, lebih 100 gerai makanan mengambil bahagian, mempamerkan pelbagai hidangan unik termasuk pais telur ikan tenggiri dan obor-obor yang jarang ditemui di tempat lain.
Tambahnya, beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini susulan kesesakan pada penganjuran sebelum ini apabila jumlah pengunjung terlalu ramai pada satu-satu masa.

“Daripada pengalaman lalu, kita belajar untuk memperkemaskan pengurusan, termasuk aliran masuk pelawat dan kemudahan pengangkutan. Cuaca yang baik hari ini turut menggalakkan kedatangan orang ramai,” jelasnya.
Festival berkenaan turut disertai pengusaha makanan, komuniti seni kulinari serta wakil pelbagai etnik yang mempamerkan kekayaan warisan gastronomi Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud