Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Wanita buta dibawa ke Rumah Seri Kenangan, Nancy umumkan tindakan susulan
  • TEMPATAN

Wanita buta dibawa ke Rumah Seri Kenangan, Nancy umumkan tindakan susulan

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri bercakap kepada media selepas majlis Pesta Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 di Kampung Budaya Sarawak.

SANTUBONG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, menyifatkan keadaan seorang wanita buta yang ditemui tinggal bersama mayat anaknya selama hampir enam hari di Kota Samarahan sebagai kejadian yang amat menyedihkan.

Beliau berkata wanita tersebut kini selamat dibawa ke Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk pemeriksaan dan penjagaan rapi.

Menurut Nancy, wanita itu dipercayai cuba mendapatkan pertolongan namun tidak dapat keluar lebih awal kerana keadaannya yang buta dan tinggal jauh di kawasan pedalaman. 

“Yang agak leganya, beliau sudah diambil dan dibawa ke Rumah Seri Kenangan. Beliau akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum melalui beberapa prosedur susulan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pesta Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 di Kampung Budaya Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa RSK merupakan tempat paling sesuai untuk wanita tersebut kerana beliau kini tinggal bersendirian tanpa waris yang tampil membantu.

RUMAH tempat ibu dan anak perempuannya tinggal.

“Dalam keadaan dirinya begitu, tidak ada tempat lain yang sesuai. Kalau beliau mempunyai ahli keluarga, tentu sudah ada yang mengambilnya. Tetapi setakat ini memang tiada,” jelasnya.

Nancy berkata kes tersebut menjadi peringatan bahawa ramai individu yang tinggal di kawasan pedalaman tidak mengetahui bentuk bantuan yang boleh disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“JKM boleh bantu banyak. Ada bantuan di rumah, bantuan sukarelawan untuk membersihkan kediaman, menemani, malah membawa mereka ke doktor,” katanya.

Beliau menegaskan masyarakat tidak seharusnya takut menghubungi JKM kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kebajikan untuk mereka yang memerlukan.

 “Kadang-kadang keluarga tinggal jauh dan tidak dapat membantu. Dalam keadaan begitu, JKM adalah tempat untuk dirujuk,” katanya.

Nancy turut menggesa ketua-ketua masyarakat agar memainkan peranan lebih aktif dalam memantau keadaan penduduk kampung, khususnya warga emas dan individu berisiko yang tinggal bersendirian.

“Ini antara tugasan mereka untuk mengetahui siapa tinggal di kampung, apa status mereka dan bantuan apa yang diperlukan,” jelasnya.

Menurut beliau, insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku tanpa diketahui komuniti setempat.

“Jangan hanya ambil nama penduduk ketika pilihan raya. Inilah masa kita membantu,” tegasnya.

Terdahulu, seorang ibu yang cacat penglihatan sebahagian, Jariyah Suut, berjaya merangkak keluar ke tepi jalan untuk meminta pertolongan selepas beberapa hari berada bersama mayat anak perempuannya yang telah mereput di pondok kediaman mereka di Jalan Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan.

Ketua Polis Samarahan, Supt Damataries Lautin, berkata si ibu memaklumkan bahawa anaknya mengadu sakit dada dan sukar bernafas pada 30 November lalu sebelum tidak lagi memberikan respons.

Pada 4 Disember, setelah bau semakin kuat, Jariyah merangkak keluar dan ditemui sekitar 6.30 pagi.

Damataries berkata anggota APM menemukan mayat wanita berusia 48 tahun itu di dalam pondok berkenaan, kira-kira 150 meter dari jalan utama dan hanya boleh diakses melalui laluan pejalan kaki sempit. Tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah aterosklerosis koronari, iaitu serangan jantung akibat saluran darah utama jantung tersumbat sepenuhnya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Harmoni dan gaya hidup sihat warnai Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM)
Next: Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 tarik lebih 14,000 pengunjung di Kampung Budaya Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.