
PETRA JAYA: Sarawak bersedia untuk muncul sebagai hab tekstil serantau melalui penganjuran Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BiTF 2025)yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Disember inidisalah sebuah hotel terkemuka di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival julung kali itu menandakan langkah besar untuk menghimpunkan pemain industri tekstil dari seluruh Borneo, sekali gus mengangkat warisan tenunan tradisional sebagai aset ekonomi dan budaya negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BiTF 2025) di Bilik Mesyuarat Mulu, Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Menurutnya, penganjuran BiTF 2025 yang bertemakan ‘Menenun Masa Depan: Menghubungkan Budaya, Komuniti dan Industri Kreatif’ memberi tumpuan kepada usaha memelihara pengetahuan warisan, memperkasa komuniti artisan serta menjadikan tekstil sebagai pemangkin inovasi dalam ekonomi kreatif.
Antara tarikan utama festival ialah Ucaptama Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang akan menyentuh masa depan seni tekstil tradisional berdasarkan pengalaman baginda lebih dua dekad memperkasa Tenun Pahang.
BiTF 2025 turut menampilkan forum dan perbincangan panel antarabangsa bertajuk ‘Mengekalkan Warisan, Menghidupkan Semula Industri Tekstil Tradisional dalam Ekonomi Moden’, mengimpunkan tokoh industri seperti Pengarah Kreatif Ikat Indonesia, Didiet Maulana, Ketua Serantau Acara Korporat Kumpulan CIMB Group, Ismail Ani Arope dan Naib Presiden Kanan Khidmat Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan.
Selain itu, festival ini akan menghimpunkan demonstrasi kraf tangan, kelas bimbingan (masterclass), persembahan budaya dan pertunjukan fesyen oleh pereka muda Unimas, memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan seni tekstil sebagai warisan hidup yang terus berkembang.
Karim turut mengumumkan bahawa Pameran Tekstil Antarabangsa akan berlangsung di Muzium Budaya Borneo mulai 7 Disember 2025 hingga 3 Mac 2026, menonjolkan koleksi warisan, bahan arkib, teknik tradisi serta hasil tenunan dari institusi utama termasuk Yayasan Tenun Pahang Diraja, Kraftangan Malaysia, Tanoti House, Society Atelier Sarawak dan Yayasan Tun Jugah.
Beliau berkata pameran itu akan dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang pada 7 Disember jam 1.30 tengah hari, memberikan akses lebih luas kepada masyarakat umum untuk mengenali tekstil tradisional secara lebih mendalam.
Pada masa sama, acara ‘Sense of Malaysia’anjuran CENTEXS Commercial Sarawak turut diadakan pada 7 Disember di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, menampilkan demonstrasi kraf seperti pua kumbu, songket, keringkam dan kek lapis Sarawak.
Program BiTF diteruskan pada 8 Disember bagi meraikan ulang tahun ketiga Juma’ani Pavilion, disusuli pertunjukan Koleksi Fesyen Runway Juma’ani oleh Pink Jambu serta pemeteraian MoU antara Yayasan Tun Jugah (Olah Idup) dan Pink Jambu bagi memperkukuh kerjasama dalam ekosistem fesyen negara.
Mengakhiri sidang media, beliau menegaskan bahawa BiTF 2025 menjadi platform strategik bagi menempatkan Sarawak di peta global sebagai pusat tekstil lestari, diplomasi budaya dan kerjasama kreatif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri, penyelidik dan usahawan muda.
Oleh Shikin Mahmud