

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato’ Ruslan Abdul Ghani menyampaikan beg sekolah kepada salah seorang pelajar sebagai simbolik penyerahan bantuan kelengkapan persekolahan sempena program Bintulu Port Prihatin – Kembali ke Sekolah 2026 yang berlangsung di Foyer Wisma Kontena, Bintulu.
BINTULU: Lebih 300 pelajar daripada enam sekolah menengah di Bintulu menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Prihatin – Kembali ke Sekolah 2026.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai langkah membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, penyediaan bantuan tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kewangan keluarga, malah mampu meningkatkan motivasi pelajar untuk memulakan tahun akademik dengan lebih yakin dan bersemangat.

Menurutnya, program itu juga menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan Bintulu Port dengan komuniti setempat melalui pelaksanaan inisiatif CSR yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Program ini dilaksanakan bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan awal untuk menghadapi sesi persekolahan 2026.
“Selain meringankan beban kewangan, ia turut menyuntik semangat mereka untuk kembali ke sekolah dengan keyakinan baharu.
“Pada masa sama, inisiatif ini selari dengan aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia yang menekankan akses pendidikan berkualiti, peluang saksama untuk semua serta pembentukan insan seimbang dan holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh, pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di Wisma Kontena, Bintulu Port di sini, hari ini.
Program Kembali ke Sekolah 2026 itu melibatkan agihan beg sekolah, pakaian seragam dan peralatan menulis kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Baru, SMK Kemena, SMK Asyakirin, SMK Bandar, SMK Kidurong dan SMK Bintulu.
Oleh Carolyne Utih