
PETRA JAYA: Sebanyak RM40.5 juta melibatkan 1,538 projek disalurkan menerusi Fasa 3 Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-agama Lain (UNIFOR) 2025 pada satu majlis penyampaian cek di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Penyampaian cek itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada majlis yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia.
Menurut Uggah, pengagihan tersebut melengkapkan keseluruhan RM110 juta peruntukan yang telah diluluskan kerajaan negeri bagi tahun ini.
Katanya, meskipun hasil negeri mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu, kerajaan kekal komited menyokong pembangunan rumah ibadat merentas agama di Sarawak.
Beliau berkata, pengumuman rasmi peruntukan bagi 2026 dijangka dilakukan pada 7 Disember ini, semasa Majlis Malam Apresiasi UNIFOR yang akan dihadiri Premier Sarawak.
“Tahun depan kita akan umum lebih awal dan mula proses pada Januari supaya pengagihan dapat diselesaikan sebelum Jun,” jelasnya.
Uggah menegaskan bahawa penerima bantuan perlu mematuhi syarat penghantaran laporan kemajuan projek.
Beliau mendedahkan bahawa lebih 150 projek termasuk 154 yang direkodkan UNIFOR masih belum mengemukakan laporan, meskipun peruntukan telah disalurkan.
“Kita memantau rapat setiap projek. Peruntukan diberi supaya rumah ibadat dapat dibina semula atau dibaiki, tetapi ada yang tidak menyerahkan laporan. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Uggah menambah, kegagalan berbuat demikian memberi implikasi langsung terhadap permohonan baharu.
“Jika dana tahun ini belum dibelanjakan atau laporan tidak dikemukakan, permohonan tahun depan tidak akan dipertimbangkan. Ini soal akauntabiliti dan tadbir urus, dan penerima mesti bekerjasama,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan meneruskan penggunaan kepakaran Jurutera Ukur Bahan (QS) JKR bagi menilai kos permohonan projek, memastikan ketelusan serta mengelakkan ketirisan.
“Kita pernah menerima laporan bangunan siap atap tetapi tiada dinding sedangkan RM400,000 telah diberi. Ini tidak boleh berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah mengingatkan agar cek bantuan tidak disimpan terlalu lama kerana tempoh sah hanya tiga bulan, dan kegagalan menunaikannya boleh menyebabkan dana tidak dikembalikan. “Jangan tunggu sehingga dua atau tiga bulan. Serahkan segera kepada pihak berkaitan,” katanya.
Uggah turut menegaskan bahawa bantuan UNIFOR adalah komitmen berterusan GPS sebagai kerajaan untuk semua rakyat, tanpa mengira agama atau latar belakang.
“Ini bukan retorik. Kita telah membuktikannya melalui pelaksanaan dan dana yang disalurkan setiap tahun,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan RM20 juta bantuan sekolah tahun ini, dan program tersebut akan diteruskan pada 2026.
Menurutnya, bangunan baharu UNIFOR kini siap sepenuhnya dan bakal digunakan dalam masa terdekat, menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud