
KUCHING: Ketua Pemuda SUPP Cawangan Kuching, Nicholas Wung menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai isyarat tegas terhadap prestasi tiga tahun Pakatan Harapan (PH) dan DAP dalam kerajaan, sekali gus mencerminkan penolakan senyap secara kolektif oleh para pengundi.
Menurutnya, PH bertanding di 20 kerusi tetapi hanya memenangi satu, manakala lapan kerusi yang sebelum ini dikuasai DAP Sabah turut tewas melalui gelombang undi senyap. Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai ‘tsunami politik’ yang dipacu sentimen kedaerahan masyarakat Cina Sabah.
Tambah beliau, persoalan kini bukan sama ada gelombang itu akan meluas ke seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sejauh mana ia perlu dilihat sebagai amaran serius.
Beliau turut merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengakui parti sedang berdepan krisis keyakinan selepas kekalahan besar itu. Wung mempersoalkan janji mempercepatkan reformasi kerana menurutnya, PH telah diberi mandat sejak 2022 dengan janji reformasi dan antirasuah, namun gagal menepati harapan.
Selain itu, Wung memetik pandangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan sokongan terhadap DAP di Sabah merosot mendadak daripada 80 peratus kepada kurang 30 peratus. Khairy memberi amaran bahawa jika DAP gagal mengembalikan semangat asal, parti itu mungkin kehilangan kubu kuat di Semenanjung pada pilihan raya umum akan datang.
Wung menegaskan penolakan senyap ini wajar diberi perhatian oleh Sarawak kerana amaran dari Sabah sudah jelas.