Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Shamsul Iskandar didakwa rasuah RM176,829.03 berkaitan lesen mineral Sabah
  • MAHKAMAH

Shamsul Iskandar didakwa rasuah RM176,829.03 berkaitan lesen mineral Sabah

Utusan Sarawak 4 hours ago
BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung pertuduhan rasuah. Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Shamsul Iskandar, 50, akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9.00 pagi ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 50, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham (pertuduhan), tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya dengan nada tenang.

Shamsul Iskandar, ketika itu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa bersetuju menerima suapan secara rasuah bagi dirinya sendiri iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing, 37, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur pada 24 Nov 2023.

Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat yang dimiliki Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Shamsul Iskandar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, pada 29 Januari 2024.

Beliau turut didakwa atas dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan serupa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Februari dan 5 Mac 2024.

Keempat-empat pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu menetapkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut mengenakan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman sebulan sekali, menyerahkan pasport sehingga kes selesai, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Mahkamah turut menetapkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaaan,” kata hakim itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Shamsul Iskandar diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Joshua Tay.

Semasa rayuan terhadap jaminan, Farah Ezlin berkata kesalahaan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihaknya memohon RM300,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi.

“Kesalahan ini adalah serius dan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh adalah berat yang mana boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda boleh mencapai RM1 juta untuk keempat-empat pertuduhan. Jaminan adalah untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah dan bukan berbentuk hukuman.

“Mengambil kira tertuduh pernah memegang jawatan penting yang mempunyai ‘networking’, jadi kita akan memastikan tiada sebarang kacau ganggu terhadap saksi dan tiada perkara yang melambatkan perbicaraan dan untuk memastikan tertuduh hadir setiap kali perbicaraan diadakan,” katanya.

Amer Hamzah pula memohon jaminan minimum atas alasan tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah.

“Jaminan tidak seharusnya melebihi RM50,000 dan pasport tidak perlu dirampas cukup sekadar melapor diri di pejabat SPRM. Dakwaan kedudukan tertuduh yang mempunyai ‘networking’ adalah andaian semata-mata. Tertuduh telah membuat laporan polis pada 26 Nov lalu dengan menafikan semua dakwaan yang dibuat terhadapnya di media sosial serta menafikan menerima sebarang suapan,” kata peguam itu.

Sementara itu, Mohd Yusmadi berkata tertuduh yang mempunyai penyakit diabetis dan darah tinggi mempunyai tiga anak yang masih belajar manakala isterinya penjawat awam dan jumlah jaminan yang tinggi dikhuatiri membebankan mereka.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira sikap tanggungjawab tertuduh yang meletak jawatan sebagai setiausaha politik selepas berita mengenai kes ini keluar dan mengambil kira peranannya yang dekat dengan masyarakat dengan memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka dan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Rasuah: Shamsul Iskandar, Albert Tei akan didakawa di Mahkamah sesyen KL hari ini
Next: Albert Tei didakwa beri suapan lebih RM176,000 bagi kelulusan lesen mineral Sabah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.