Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Pengundi Sabah ikut rentak Sarawak?
  • KOLUMNIS

Pengundi Sabah ikut rentak Sarawak?

Utusan Sarawak 4 hours ago

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang berakhir Sabtu lalu boleh dirumuskan seperti berikut:

  1. Jelas bahawa keputusan PRN kali ini, majoriti pengundi Sabah bersatu hati menyokong parti-parti negeri dan menolak parti-parti nasional.
  2. Akibatnya, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semuanya mencatatkan pencapaian teruk. PH bertanding 22 kerusi menang 1, PN bertanding 42 menang satu dan BN bertanding 45 menang 6. Kerusi tunggal PN adalah sumbangan Pas yang menang kali pertama dalam sejarah politik Sabah tetapi dipercayai lebih kaitan dengan keperibadian calon.
  3. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) adalah dua parti tempatan yang menjadi pilihan utama penduduk negeri berkenaan.
  4. GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memperoleh 29 daripada 73 kerusi dewan. Saingan terdekat, Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal mendapat 25 kerusi.
  5. Pengundi Cina di Sabah menolak secara mutlak DAP apabila kesemua lapan kerusi DUN ditandingi kecundang

MESEJ PENGUNDI

A) Menampakkan impak lebih kukuh dan padu dengan slogan dan sentimen dimainkan seperti ‘Sabah for Sabahan’, ‘Sabah First’, ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.

B) Lima calon Bebas yang ditolak parti masing-masing menang menunjukkan rakyat menentukan kepimpinan, bukan parti. Mereka menang di Bandau, Pintasan, Petagas, Tulid dan Kukusan tanpa sokongan parti besar, melalui keikhlasan, keberanian dan hubungan rapat dengan pengundi.

Kerusi dimenangi parti-parti politik. Infografik Bernama.

C) Beberapa veteran politik Sabah tewas, menunjukkan pengundi kini lebih menilai calon berbanding reputasi lama. Tan Sri Pandikar Amin Mulia (DUN Pintasan), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (DUN Usukan) dan Tan Sri Anifah Aman (DUN Bongawan) semua gagal merampas atau mempertahankan kerusi masing-masing.

KABINET

Tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melantik wakil BN dan PH dalam Kabinet dilihat mahu terus mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, langkah yang dilihat sebagai ‘jambatan’ memperkukuhkan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63) dan 40 peratus hasil negeri serta autonomi selain untuk membawa projek dan dana pembangunan.

Namun tindakan itu dikritik hebat tetapi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun semalam menjelaskan penyertaan ADUN BN dalam Kabinet Sabah adalah bagi memastikan kestabilan politik di negeri itu.

“Ada kalanya kita perlu mengetepikan ego untuk melihat gambaran lebih besar dan bagi saya gambaran yang lebih besar itu ialah memastikan Sabah berada dalam keadaaan stabil supaya semua pihak dapat menumpukan perhatian kepada tugas yang perlu dilaksanakan,” katanya yang juga Setiausaha GRS.

Hakikatnya, ia adalah sebuah kerajaan perpaduan setelah tiada satu parti atau gabungan mencapai majoriti mudah 37 kerusi dengan disertai GRS, UPKO, PH dan BN.

Malah tindakan pantas Hajiji untuk membawa bersama lima calon Bebas dengan empat daripadanya dilantik Pembantu Menteri, serba sedikit ‘menyelamatkan’ kerajaan pimpinannya daripada ‘roboh’ di tengah jalan, seperti pernah berlaku sebelum ini.

KEKUATAN WARISAN

Sebanyak 25 kerusi milik Warisan tidak boleh dipandang enteng. Isnin lalu, portal FMT memetik sumber dalaman GRS melaporkan wujud usaha daripada Warisan untuk menjatuhkan kerajaan GRS Plus, antaranya dengan menawarkan jawatan menteri penuh kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta lima ADUN Bebas.

Namun, Presiden Warisan Shafie Apdal menafikan dakwaan parti tu berusaha membeli atau memujuk ADUN bagi menumbangkan pentadbiran Hajiji Noor.

Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (kiri) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Nescaya PRN17 Sabah menyaksikan suatu episod sangat unik lagi sengit apabila buat julung kalinya membabitkan pertembungan paling banyak penjuru dengan angka besar dari segi jumlah parti politik dan calon bertanding.

Mengkaji dari segi sokongan dan sentimen pengundi Sabah, ada kemungkinan dan kebarangkalian coraknya mengikut jejak stail politik Sarawak.

Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai, bagaimanapun menolak kemungkinan keputusan itu turut menular ke Sarawak pada PRN akan datang.

“Saya berpandangan bahawa keputusan PRN Sabah tidak mempengaruhi atau mencorak PRN Sarawak yang akan datang. Kedudukan GPS (Gabungan Parti Sarawak) adalah sangat kukuh berbanding dengan GRS di Sabah berdasarkan peratusan kerusi yang dimenangi.

“Jika PRN Sabah ada mempengaruhi, ini kemungkinan berlaku di kawasan bandar kerana sokongan terhadap DAP di Sarawak semakin merosot.

“Contohnya, dalam PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021, DAP hanya memenangi dua kerusi DUN berbanding lapan kerusi DUN yang diperoleh pada PRN Sarawak ke-11 pada 2016.

“Seterusnya dalam PRU ke-15 pada 19 November 2022, DAP Sarawak hanya dapat mempertahankan lima kerusi daripada lapan kerusi Parlimen,” katanya kepada penulis.

“Keputusan PRN Sabah 2025 memberi isyarat penting bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah satu corak politik baru yang lebih terfragmentasi, lebih berasaskan identiti wilayah, dan kurang bergantung kepada parti nasional,” – Prof Dr Novel anak Lyndon (UKM)

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel anak Lyndon pula berpendapat dari sudut akademik, terdapat beberapa pengamatan kritikal yang perlu diperhalusi.

“Keputusan PRN Sabah 2025 memberi isyarat penting bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah satu corak politik baru yang lebih terfragmentasi, lebih berasaskan identiti wilayah, dan kurang bergantung kepada parti nasional,” katanya kepada penulis.

Secara keseluruhan, katanya, keputusan PRN Sabah kali ini adalah selari dengan apa yang dijangkakan oleh banyak penganalisis politik, iaitu pengundi di Sabah semakin menekankan kepentingan parti lokal dan calon tempatan yang berasal dari kawasan tersebut.

Keputusan pilihan raya itu menunjukkan:

  • GRS meraih kemenangan terbesar.

Warisan menunjukkan dukungan yang kuat dan stabil. Parti ini mendapat dukungan kerana mereka bergerak sebagai satu parti berbanding GRS sebagai satu gabungan.

  • Parti-parti nasional seperti PH (termasuk DAP) mengalami penurunan yang signifikan.

Dr Novel berkata fenomena ini memperkuatkan pandangan bahawa orientasi politik masyarakat Sabah kini lebih berfokus pada isu lokal daripada nasional.

Apakah keputusan ini bakal mencorak PRU akan datang?

Prof. Madya Stanley Bye berpendapat ia tidak ada impak terhadap keputusan PRU akan datang.

“Akibatnya parti-parti Semenanjung hilang 31 kerusi daripada 39 yang dimenangi mereka secara kolektif pada PRN Sabah ke-16,” – Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai (Unimas)

“Hal ini demikian kerana keputusan pilihan raya itu nanti ditentukan di Semenanjung yang mempunyai 166 daripada 222 kerusi Parlimen. Sabah seperti sekarang hanya memainkan peranan sebagai ‘kingmaker’ kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu nanti,” katanya.

Mengapakah orang Sabah tolak parti Semenanjung, apakah ada kena mengena dengan tuntutan MA63, keputusan 40 peratus hasil Sabah oleh mahkamah di Kota Kinabalu?

Prof. Madya Stanley berkata sejak sedekad lalu MA63 digunakan sebagai isu perjuangan Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan sumber kewangan yang lebih banyak dan telah menjadi isu utama dalam PRU dan PRN dalam tempoh itu.

Isu ini juga katanya, ditegaskan berulang kali oleh parti-parti tempatan Sabah yang bertanding dalam PRN Sabah ke-17.

“Akibatnya parti-parti Semenanjung hilang 31 kerusi daripada 39 yang dimenangi mereka secara kolektif pada PRN Sabah ke-16. Namun begitu, parti-parti manakah yang akan memperjuangkan hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 kerana tidak ada parti yang memenangi majoriti dalam PRN Sabah ke-17,” katanya.

Bagi Dr Novel pula, daripada perspektif sosiologi politik, beberapa faktor menjelaskan mengapa trend ini muncul.

Politik identiti negeri:

Pengundi di Sabah merasakan bahawa parti-parti tempatan lebih memahami permasalahan berkaitan air, elektrik, jalan raya, infrastruktur desa, dan autonomi negeri.

Naratif ‘Sabah untuk Sabahan’ berkait rapat dengan sejarah marginalisasi dalam pembangunan.

Beliau berkata sentimen anti-parti Semenanjung, semakin banyak pengundi merasakan bahawa parti dari Semenanjung tidak cukup peka terhadap realiti kehidupan masyarakat Sabah.

“Kepercayaan terhadap wakil rakyat tempatan. Calon-calon yang berasal dari kawasan dianggap lebih mudah didekati, lebih dekat dengan masyarakat setempat, serta memiliki tanggungjawab yang lebih besar.

“Oleh itu, keputusan ini dapat dilihat sebagai suatu bentuk ‘bukti sosial dan politik’ bahawa pengundi Sabah kini bertindak berdasarkan keutamaan lokal bukan kempen berdasarkan modal nasional,” jelasnya.

Sebagai rumusan katanya, PRN Sabah bukan sekadar pilihan raya negeri, ia adalah referendum tentang arah politik Sabah dan hubungan Sabah dengan Persekutuan (Kota Kinabalu-Kuala Lumpur).

Pengundi Sabah kata Dr Novel sedang melakukan ‘realignment’ politik yang mendalam, mengutamakan identiti tempatan, kepimpinan akar umbi, dan autonomi negeri.

“Parti nasional berada dalam kedudukan rapuh, dan jika mereka tidak membina semula jentera tempatan, mereka akan terus kehilangan Sabah dalam PRU akan datang sama ada PH, BN atau PN,” katanya.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Continue Reading

Previous: Analisis PRN Sabah, manifestasi Rumah Kita, Kita Jaga!

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.