
KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa cadangan penubuhan bank negeri bukan sekadar idea baharu, tetapi strategi jangka panjang untuk memperkukuhkan kedaulatan kewangan Sarawak agar tidak terus bergantung kepada institusi perbankan komersial luar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata keperluan mewujudkan bank negeri muncul selepas kerajaan menyedari bahawa banyak projek penting memerlukan akses pembiayaan yang stabil dan bukan terikat kepada polisi bank luar yang tidak mengambil kira keperluan pembangunan negeri.
“Dalam sistem perbankan, apabila bank menerima deposit RM1, hanya 20 sen disimpan sebagai rizab, manakala 80 sen boleh digunakan sebagai pinjaman.
“Jika kita memiliki bank sendiri, keuntungan yang dijana akan kembali kepada rakyat melalui pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Kelab Sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam tadi.
Beliau berkata bank negeri akan membolehkan Sarawak mengurus pembiayaan mega menggunakan sumber kewangan sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada syarat ketat atau keutamaan institusi kewangan luar.
Majlis itu turut menyaksikan penegasan bahawa perbahasan pembangkang mengenai belanjawan negeri sering tersasar daripada prinsip asas kewangan, sehingga menimbulkan tafsiran yang mengelirukan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, menegaskan belanjawan negeri tidak boleh ditafsirkan seperti teks undang-undang kerana ia mempunyai struktur dan asas perakaunan yang khusus.
“Masalahnya bukan bajet itu rumit. Tetapi mereka mentafsir angka seperti mentafsir niat orang di mahkamah.
“Sebab itu Premier Sarawak, terpaksa guna analogi paling mudah untuk memastikan ia difahami,” katanya.
Beliau berkata pembangkang boleh terus mengeluarkan tafsiran mereka, namun kerajaan negeri akan kekal fokus melaksanakan agenda pembangunan tanpa terganggu oleh naratif luar yang tidak tepat.
“Kita lihat ini secara positif. Cabaran mereka bermaksud ahli Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu lebih aktif menjelaskan hala tuju Premier dan Kabinet kepada rakyat,” ujarnya.
Fazzrudin berkata kekeliruan terhadap angka belanjawan sering digunakan sebagai taktik untuk menanam persepsi negatif, namun kewangan Sarawak kekal kukuh dan diurus secara berdisiplin, seperti yang dibuktikan melalui laporan audit dan penarafan antarabangsa.
Majlis anjuran Kelab Sokongan GPS itu menghimpunkan pimpinan akar umbi untuk memperkukuhkan kefahaman mengenai dasar kerajaan dan memastikan mesej pembangunan disampaikan secara tepat kepada rakyat.
Oleh Shahrul Qaizat