
PETRA JAYA: Inisiatif Pembiayaan Alternatif yang dilaksanakan kerajaan bukanlah pembaziran, sebaliknya membolehkan pembangunan strategik negeri dilaksanakan dengan cekap sambil mengekalkan aliran tunai yang terurus.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan bahawa dakwaan kononnya defisit negeri tidak mengambil kira perbelanjaan di bawah mekanisme Pembiayaan Alternatif adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
“Ia seperti sebuah keluarga yang ingin membeli kereta untuk memulakan perniagaan. Mereka mengambil pinjaman sewa beli supaya tidak menghabiskan semua simpanan.
“Sambil membayar ansuran, mereka menggunakan kereta itu untuk menjalankan perniagaan, menjana pendapatan, dan membayar balik pinjaman.
“Inilah yang kita katakan, pakai kereta cari duit, bukan habiskan duit untuk beli kereta. Tapi ada orang tidak faham atau buat-buat tidak faham,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada sidang DUN Sarawak, hari ini.
Abang Johari berkata semua obligasi kewangan di bawah inisiatif itu telah diperuntukkan sepenuhnya dan diambil kira dalam belanjawan pembangunan negeri yang dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.
Katanya, inisiatif itu membolehkan Sarawak mempercepat pembangunan, membina aset yang menjana pulangan ekonomi jangka panjang, dan pada masa sama mengekalkan pengurusan aliran tunai yang berhemah tanpa menjejaskan rizab negeri.
“Dengan melaksanakan projek-projek ini sekarang, kita mendahului inflasi kerana menangguhkan projek hanya akan meningkatkan kos pada masa depan.
“Pelaburan ini akan terus memberi manfaat kepada Sarawak untuk beberapa dekad akan datang.
“Sama seperti sebuah perniagaan yang melabur hari ini untuk masa depan lebih kukuh, Sarawak sedang melabur sekarang supaya rakyat dapat menikmati kemajuan lebih cepat, pertumbuhan lebih kukuh dan kemakmuran berpanjangan,” katanya.
Beliau yang turut memegang potfolio Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru, menjelaskan bahawa inisiatif Pembiayaan Alternatif telah memudahkan pelaksanaan projek strategik di seluruh negeri termasuk jalan pesisir pantai, jalan utama kedua dan 14 jambatan, grid bekalan air, infrastruktur digital serta Sistem Aliran Transit Automasi (ART).
“Projek-projek ini mencipta kesan berganda kepada ekonomi negeri, yang terbukti dengan pertumbuhan 18.7 peratus dalam sektor pembinaan tahun lepas.
“Komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang baik, disiplin kewangan yang ketat, dan pengurusan kewangan berhemah di semua peringkat organisasi.
“Semua pendedahan berkaitan Pembiayaan Alternatif adalah telus sepenuhnya, dengan sumber dana datang daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS),” katanya.
Oleh MASRIN AFFIRAH