
PETRA JAYA: Projek jalan baharu menghubungkan Miri–Marudi–Mulu (MMMLL) bernilai RM3.8 bilion bakal mengubah sepenuhnya rangkaian pengangkutan di utara Sarawak dengan mengurangkan masa perjalanan dari sejam 40 minit kepada hanya 30 minit, sekali gus memperkukuh akses penduduk pedalaman kepada bandar utama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek mega tersebut telah dilancarkan pada 15 November lalu dan merupakan komponen penting dalam usaha memperkuat jaringan jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman Miri, Baram dan Mulu kepada lebuh raya utama negeri.
“Projek ini bukan sekadar memendekkan masa perjalanan, tetapi membuka peluang baharu untuk ekonomi, pelancongan, pertanian serta memudahkan akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan penting,” katanya yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.
Menurut beliau, jalan MMMLL akan menjadi laluan strategik bagi menyokong pembangunan Koridor Utara, selain menghubungkan kawasan pedalaman kepada Lebuh Raya Pan Borneo dan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) Fasa 2.
Uggah berkata projek itu akan membawa manfaat terus kepada komuniti Marudi, Long Panai, Long Lama dan penempatan kecil di sepanjang laluan berkenaan yang selama ini bergantung pada jalan sedia ada yang sempit, sesak serta terdedah kepada kerosakan terutama semasa musim hujan.
“Penduduk kawasan ini amat perlu kepada laluan yang lebih selamat dan cepat. Dengan laluan baharu ini, masa perjalanan bukan sahaja dipendekkan, tetapi lebih stabil dan tidak bergantung pada keadaan cuaca,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan jalan tersebut merupakan salah satu projek paling signifikan bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) yang melihat kawasan utara sebagai pemacu pertumbuhan baharu dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
“Jalan itu juga dijangka merangsang pembangunan pelancongan di kawasan Mulu, khususnya Taman Negara Mulu yang menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO, selain memperkukuh aktiviti perladangan dan hasil pertanian dari kawasan Long Lama dan Marudi untuk dihantar ke Miri dengan lebih cepat,” katanya.
Uggah berkata pemendekan masa perjalanan kepada 30 minit akan memberi impak besar terhadap kos logistik, perniagaan kecil dan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta kecemasan.
“Bayangkan pesakit kecemasan dari Marudi ke Miri yang sebelum ini mengambil hampir dua jam. Dengan laluan baharu, bantuan dapat tiba jauh lebih cepat, ini boleh menyelamatkan nyawa,” jelasnya.
Menurut beliau, projek itu juga akan meningkatkan keselamatan berbanding laluan lama yang sering rosak dan mengalami hakisan, terutama di kawasan tanah gambut.
Selain itu, penyambungan jalan ke Mulu akan membuka laluan baharu kepada pelancong, mempercepat pergerakan logistik industri minyak dan gas di utara Sarawak serta merangsang pertumbuhan bandar Marudi sebagai hub ekonomi baharu.
Uggah berkata, projek itu sejajar dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang memberi penekanan kepada pengukuhan infrastruktur luar bandar dan penyamarataan akses antara kawasan bandar dan pedalaman.
“Inilah bukti bahawa pembangunan tidak tertumpu di bandar sahaja. Kawasan pedalaman juga menerima pelaburan besar, kerana kemajuan Sarawak mesti dirasai oleh semua,” tambahnya.
Oleh Shahrul Qaizat